SEMUA maklum dan mengenali jaguh berbasikal trek negara, Mohd Azizulhasni Awang yang banyak kali mencipta kemenangan dan mengharumkan nama negara di pentas dunia.
Malah, tiga hari lalu beliau turut mengungguli kedudukan carta dalam saingan Kejohanan Trek Elit Victoria yang berlangsung di Velodrome Pusat Sukan Antarabangsa Darebin di Melbourne.
Apa yang SinarPlus paling tertarik dengan perkongsian beliau yang juga dikenali 'Pocket Rocketman' itu adalah apabila dua pelajar Doctor of Philosophy (PhD) Malaysia berbangsa Melayu memperlekehkan penguasaan bahasa Inggerisnya ketika kali pertama menjejakkan kaki di
Melbourne.
"Dalam komuniti tersebut ramai yang melanjutkan PhD, kira hebat dan bukan bishe-bishelah. PhD yang saya maksud tersebut bukanlah perasaan hasad dengki tetapi adalah Doctor of Philosophy ye.
"Entah macam mana 'our conversation' adalah berkenaan dengan Chromosome, DNA dan RNA semua ni lah. Dalam kepala saya teringat kereta Proton Gen2 di pasaran Malaysia. Kite sebut Gen2 adalah 'Jen Tu' kan. Jadi saya dengan yakinnya menyebut 'Jen' untuk merujuk kepada 'Gene' (terdiri dari DNA-boleh google kalau tak tahu) dan sebutan saya itu salah. Sebutan yang betul adalah 'Jin' (tak ada kaitan dengan jin pakai toncet ye kawan-kawan).
"Terus saya digelakkan oleh dua pelajar PhD yang berbangsa Melayu. Yang si perempuan tu gelakkan sambil berpusing ke belakang dan meletakkan tangan ke dahinya. Dan yang lelaki pula acah-acah tersembur air dari mulutnya yang ketika itu tengah minum air sirap merah,"
katanya.
Menurutnya, mereka tidak memberitahu akan kesilapan tersebut.
Tambah Azizul, berbeza pula situasi apabila berada di kalangan orang barat kerana mereka membantu perbetulkan dan tiada langsung ketawa mempersendakan dirinya.
"Apabila berkomunikasi dalam bahasa Inggeris, mereka juga mempunyai kesulitan untuk memahami loghat masing-masing, tetapi mereka ni tetap menghormati antara satu sama lain dan inilah contoh yang kita perlu pelajari," katanya.
Namun, Azizul turut mengatakan perkongsian ini bukan bertujuan mempertahankan mereka yang membuat kesilapan dalam bahasa tersebut.
Beliau turut berkongsi kata-kata Jackson Brown Junior,"Never make fun of someone who speak broken English. It means they know another language".