Penyakit tiroid banyak serang orang muda, ini gejala dan rawatannya

Iklan
Penyakit tiroid banyak serang orang muda, ini gejala dan rawatannya

TIROID merupakan kelenjar yang berbentuk rama-rama yang terletak di bahagian hadapan leher yang bertanggungjawab di dalam penghasilan hormon tiroid.

Kelenjar tiroid menggunakan zat iodin (sumber yang diperolehi daripada diet pemakanan seperti garam dan makanan laut) dalam menghasilkan hormon tiroid.

Iklan
Iklan

Terdapat dua jenis hormon tiroid iaitu tiroksin (T4) dan triiodotironin (T3), yang masing-masing mewakili 99.9% dan 0.1% hormon tiroid.

Iklan

Selepas dirembes keluar dari kelenjar tiroid, jumlah T4 yang banyak akan ditukarkan kepada T3, yang merupakan hormon yang paling aktif daripada segi biologi dalam memberi kesan metabolisme ke atas sel-sel badan.

Masalah tiroid boleh diklasifikasikan kepada dua kumpulan utama iaitu; 

Iklan

1. Masalah yang berpunca daripada fungsi penghasilan hormon tiroid yang tidak normal.

a) Hipertiroidisme (kelenjar tiroid terlebih aktif).

Antara penyebab-penyebab utama adalah seperti penyakit graves, goiter multinodular toksik, nodul tiroid yang menghasilkan hormon tiroid berlebihan dan pengambilan iodin secara berlebihan.

b) Hipotiroidisme (kelenjar tiroid kurang aktif).

Antara penyebab-penyebab utama adalah seperti tiroiditis Hashimoto, dan masalah keradangan pada kelenjar tiroid (tiroiditis).

2. Masalah yang berpunca daripada struktur kelenjar tiroid itu sendiri.

a) Goiter

Ia bukan sejenis penyakit tetapi merupakan suatu keadaan di mana kelenjar tiroid membengkak.

b) Nodul tiroid

Bermaksud terdapat ketulan yang abnormal di dalam kelenjar tiroid dan boleh disebabkan oleh ‘benign cysts’ dan ‘benign tumor’ serta jarang-jarang berlaku iaitu barah tiroid.

c) Barah tiroid adalah lebih banyak berlaku di kalangan wanita dewasa jika dibandingkan dengan lelaki ataupun remaja.

Terdapat beberapa jenis barah tiroid. Ia bergantung kepada jenis sel barah itu berasal.

Hipotiroidisme merupakan keadaan di mana kelenjar tiroid kurang aktif dengan menghasilkan hormon tiroid yang rendah.

Gejala-gejala hipotiroidisme adalah seperti;

1. Lesu

2. Sukar untuk menumpukan perhatian dan tahap pemikiran yang lembab

3. Kulit kering

4. Sembelit

5. Sentiasa berasa sejuk

6. Pendarahan haid yang banyak dan lama bagi wanita

Barah tiroid terjadi apabila terdapat gejala-gejala seperti ketulan pada kelenjar tiroid, suara menjadi kasar, kesukaran bernafas atau menelan, noda-noda limfa yang membengkak di bahagian leher, batuk atau sakit tekak yang berterusan dan sakit pada leher yang berterusan.

Hipotiroidisme yang tidak dirawat boleh menyebabkan masalah-masalah berikut;

1. Risiko penyakit jantung kerana kandungan kolesterol yang tidak baik (LDL) akan meningkat.

2. Masalah mental seperti kemurungan dan pemikiran yang lembab.

3. Masalah saraf seperti kebas-kebas dan sakit-sakit di bahagian saraf yang terlibat.

4. Myxedema – merupakan keadaan yang serius dan boleh meragut nyawa di mana pesakit boleh datang dalam keadaan koma.

5. Masalah kemandulan bagi wanita (infertiliti).

6. Masalah perkembangan dan tumbesaran bayi dalam kandungan daripada segi fizikal dan mental.

Goiter yang terlalu besar boleh menyebabkan masalah kesukaran bernafas atau menelan di samping masalah daripada segi kecantikan atau kosmetik.

Masalah tiroid boleh dirawat menggunakan ubat-ubatan atau pembedahan. Ia bergantung kepada jenis masalah tiroid tersebut.

Bagi masalah hipotiroidisme, hormon tiroid boleh diganti dengan pengambilan pil sintetik hormon tiroid secara oral.

Bagi masalah hipertiroidisme, penghasilan hormon tiroid oleh kelenjar tiroid dapat dikurangkan melalui ubat-ubatan yang diambil secara oral.

Rawatan secara pembedahan adalah perlu bagi masalah tiroid yang terdapat kemungkinan merupakan barah tiroid.

Pembedahan juga boleh dijadikan sebagai rawatan jika goiter terlalu besar hingga menyebabkan gejala seperti kesukaran bernafas atau kesukaran untuk menelan juga untuk kes nodul tiroid yang menghasilkan hormon tiroid berlebihan yang tidak dapat dikawal dengan ubat-ubatan.

Semoga bermanfaat!