JIKA orang lain mempunyai sifat suka mengasingkan diri apabila mempunyai anak daripada mata kasar kelihatan kekurangan, Allida Muhammad Said, 53, tidak begitu.
Sebaliknya, beliau berbangga memiliki Amir Hamzah Fadhil Hassan Ismail Yassin, 21.
"Setelah melalui pelbagai onak dan duri, alhamdulillah, anak saya kini sihat dan kini sedang melanjutkan pelajaran di peringkat Ijazah Sarjana Muda Perniagaan," kata Allida yang gembira dengan pencapaian anaknya itu.
Cerita ibu kepada tiga orang anak itu, disebabkan menghidap penyakit jarang jumpa, kerdil (dwarfism), ketinggian anaknya cuma 120 sentimeter.
"Disebabkan itu, Amir (nama panggilan anaknya) selalu akan kata 'saya tahu, saya nampak kelakar bila berjalan, biarkan mereka ketawakan saya'. Itu yang selalu diucapkannya kalau masyarakat mentertawakannya kalau kelibatnya muncul di khalayak ramai.
Beritahu Allida, sebenarnya kesemua anak-anak termasuk ahli keluarganya yang lain normal dan tidak seorang pun menghidap kondisi genetik seperti itu.
Disebabkan itu, akui wanita tabah itu, beliau berdepan dengan cabaran terutama dari segi memahami perasaan dan emosi anak kesayangannya itu.
"Kami mencuba sehabis baik untuk memberi sepenuh perhatian dan melayani emosi Amir sebaik mungkin. Kami juga menghantarnya ke sesi kaunseling bagi memastikan keperluan dalaman dapat dirungkaikan.
"Alhamdulillah, Amir mempunyai keyakinan diri yang sangat bagus selain sangat mesra ketika bersama keluarga dan rakan-rakan," katanya.
Ujar Allida, antara keputusan terbesar yang pernah dilakukannya adalah merelakan Amir melanjutkan pengajian di Melbourne, Australia seorang diri selama setahun sewaktu mengambil kursus Diploma Perniagaan beberapa tahun lalu.