BARU-BARU ini tular di Twitter yang mana dakwaan pusat beli belah eCurve di Mutiara Damansara akan ditutup secara kekal mulai 31 Mac ini setelah beroperasi selama 14 tahun.
Perkara itu mula tular apabila ada pengguna di Twitter memuat naik beberapa keping gambar yang kelihatan kawasan kedai di sekitar pusat beli belah tersebut telah dikosongkan.
Namun, menurut pihak pengurusan pusat beli-belah itu, Boustead Properties Bhd (BPB) dalam satu kenyataan berkata, eCurve Mutiara Damansara tidak akan ditutup secara kekal, sebaliknya ia hanya ditutup sementara untuk dibangunkan semula.
BPB merancang pembangunan semula eCurve bagi memberi nafas baharu kepada pusat beli-belah itu yang akan menjadi mercu tanda baharu di Mutiara Damansara.
Tambah BPB lagi, langkah yang diambil itu adalah tepat pada masanya yang bakal menyaksikan eCurve disesuaikan dengan perubahan sekitar dari segi masyarakat, gaya hidup dan teknologi baharu.
Sementara itu kedai di eCurve akan kekal dibuka sehingga akhir Mac ini.
Untuk pengetahuan korang, eCurve adalah destinasi hiburan berpusat di Mutiara Damansara yang dikendalikan oleh Damansara Entertainment Centre Sdn Bhd, iaitu anak syarikat Boustead Properties.
Ia menjadi pilihan utama bagi mereka yang mahukan lokasi untuk aktiviti riadah, hiburan dan terapi runcit.
Jika hari ini dunia tidak dilanda pandemik Covid-19, SinarPlus percaya eCurve adalah salah satu ‘port’ kegemaran untuk melepak terutama golongan muda.
Sementara itu eCurve juga ada menawarkan pawagam dan pusat boling yang sering menjadi tumpuan utama pelanggan.
Tidak lupa juga eCurve turut menyediakan lokasi hos bagi pertandingan e-sukan, tayangan perdana filem bersama selebriti tempatan yang sering dibuat sebelum ini.
Jadi, apakah kelaian eCurve selepas 31 Mac ini? Sama-sama kita nantikan pembaharuan yang akan mereka buat!