SUDAH lebih sebulan kita menjalani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat wabak Covid-19 yang kini menjadi ancaman di seluruh dunia.
Rata-rata daripada kita ‘terkawal’ dalam tempoh tersebut. Namun, bagaimana pula dengan kenderaan kita yang diletakkan di luar rumah?
Seseorang jika berjemur di tengah panas dalam jangka masa yang lama juga akan ‘berubah warna kulit’, bukan? Bagaimana pula dengan kenderaan kita?
Satu ujian yang dijalankan di luar negara mendapati, suhu udara yang melebihi 62 darjah Celsius boleh meningkatkan suhu dalaman kenderaan di kawasan yang terdedah kepada cahaya matahari melebihi 90 darjah Celsius.
Jika dibandingkan tahap haba matahari di negara kita pula, ia adalah antara 37 ke 39 darjah Celsius. Berdasarkan kajian tadi, congaklah suhu dalaman kenderaan di negara kita ketika cuaca panas.
Oleh itu, jika kereta anda diparkir di kawasan terbuka di luar rumah dalam tempoh yang lama, sedikit sebanyak pasti ia memberikan kesan.
Turbo mendapatkan pandangan pemilik bengkel Aali Brother Garage, Muhammad Nafiz Hamizan bagi berkongsi ilmu dan kepakarannya.
"Jangan biarkan kenderaan di bawah cahaya matahari kerana ia akan menyebabkan suhu menjadi sangat panas. Habanya boleh mencecah sehingga 70 ke 80 darjah Celsius terutamanya kereta,” kata Muhammad Nafiz.
Kongsi Muhammad Nafiz, perkara pertama yang perlu dibimbangkan apabila kereta berjemur adalah berlaku masalah kepada bateri.
"Bateri kereta akan menjadi lemah jika terminal negatifnya tidak dicabut kerana masih ada arus yang ‘bekerja’,” jelasnya.
Selain itu, komponen kereta yang diperbuat daripada getah akan cepat keras seperti getah pengelap cermin (wiper).
Oleh itu, jika kereta terpaksa diparkir di bawah matahari, pastikan pengelap cermin diangkat untuk tahan lebih lama.
"Paling ketara, apabila kereta atau motosikal diletakkan di kawasan terbuka dan panas pula, warna cat akan pudar dan lama-kelamaan akan rosak,” terang Muhammad Nafiz.
Kongsinya lagi, bukan itu sahaja masalahnya, jika kenderaan terdedah lama kepada haba matahari, ia akan menyebabkan papan pemuka kereta menjadi keras dan mengecil.
Pada masa yang sama, motosikal juga akan berhadapan beberapa masalah apabila dijemur di bawah terik matahari.
"Minyak petrol di dalam tangki motosikal akan berkurang, manakala tempat duduk bertukar kering dan senang terkoyak,” katanya.
Bagaimanapun, menurutnya, kenderaan yang terdedah kepada cahaya matahari tidak akan menjejaskan enjin kereta kecuali jika terkena air kerana ia akan berkarat.
Berikut langkah-langkah untuk mengelakkan komponen kereta rosak akibat terdedah kepada cahaya matahari:
1. Parkir di tempat teduh
Itu adalah bentuk perlindungan yang paling mudah. Dengan mengelakkan sinar matahari, secara langsung ia akan membantu mengekang papan pemuka daripada merekah. Sekiranya tidak boleh berbuat sedemikian, buka tingkap untuk membantu mengurangkan suhu dalaman dan menstabilkan tekanan udara.
2. Guna pelindung cermin depan
Ia cara yang baik untuk memastikan kereta sejuk dan mencegah kerosakan akibat cahaya matahari. Itu juga sangat membantu dan langkah ini sangat mudah dilaksanakan.
3. Pasang pelindung tempat duduk
Ia bukan sahaja melindungi permukaan kulit mahupun kain kerusi kenderaan, tetapi juga membantu mengekalkan bentuk fizikal tempat duduk berkenaan. Boleh juga diaplikasikan kepada motosikal.
4. Lindungi kerusi kulit dengan perapi
Matahari dan haba benar-benar memberi kesan. Untuk membantu mengelakkan keretakan atau kerosakan, pastikan kerusi bersih dan keraplah menggunakan bahan perapi untuk tempat duduk kenderaan yang diperbuat daripada kulit.