LEBIH setahun 'mendung' berterusan, kini 'mentari' muncul lagi. Hari ini 12 Mac, genaplah setahun wabak coronavirus atau Covid-19 diisytihar sebagai pandemik oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Pandemik merujuk kepada wabak yang menyerang dalam skop lebih besar dan tidak terhad kepada komuniti atau daerah semata-mata.
Covid-19 telah menepati kriteria pandemik kerana wabak ini mengancam manusia sejagat di seluruh dunia.
Antara pandemik yang pernah berlaku adalah wabak Antonine, wabak Jusne serta 'The Black Death' yang dipercayai membunuh puluhan juta orang sekitar abad ke-14.
Sebelum Covid-19 menyerang, HIV/AIDS adalah satu-satunya pandemik yang diramal mampu membunuh sehingga 100 juta orang pada tahun 2025.
Di Malaysia, pandemik Covid-19 telah memasuki gelombang ketiga dan telah menyebabkan 1,200 kematian setakat 11 Mac.
Penurunan kes ini berlaku secara perlahan-lahan dan dijangka stabil sekitar dua angka pada Mei.
Pendekatan untuk mengimbangi keperluan kesihatan rakyat dan kestabilan ekonomi yang diambil kerajaan menjadi faktor penurunan kes agak perlahan dan ini sememangnya telah dijangka.
Penghasilan vaksin dan kejayaan kerajaan mendapat bekalan vaksin yang mencukupi ketika semua negara sedang 'berebut' adalah satu sinar harapan baharu, ibarat mentari muncul lagi selepas mendung berterusan lebih setahun.
Penularan jangkitan hanya boleh dikawal menggunakan vaksin jika imuniti berkelompok atau Herd Immunity terbentuk. Ini boleh dicapai selepas 80% populasi di Malaysia mengambil vaksin.
Jika 126,000 orang menerima vaksin setiap hari, kita dijangka mencapai lebih awal sasaran 80% populasi sekaligus imuniti berkelompok dibentuk lebih awal.
Walaupun Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan bagi Fasa 3 hanya akan bermula Mei, pendaftaran awal akan memastikan kelancaran proses vaksinasi dan mencapai sasaran 126,000 suntikan sehari.
Banyak 'kebebasan' akan kita kecapi lebih awal jika sasaran imuniti berkelompok ini dicapai lebih awal.
Baca juga Hati-hati, individu ingkar SOP Covid-19 berdepan denda RM10,000 mulai hari ini
Kita merancang, kita berusaha dan kita berdoa, kepada Tuhan juga kita berserah. Vaksin Covid-19, lindung diri lindung semua.
Sumber: KKM