Hukum bayar penuh kepada pengasuh, taska dan tadika walaupun tidak hantar anak ketika PKP

Iklan
Bayaran penuh pengasuh taska dan tadika

SEJAK Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan pada fasa pertama lagi, semua taska diarahkan tutup.

Begitu juga dengan tadika, pusat tuisyen dan sesi persekolahan. Semuanya tidak beroperasi bermula 18 Mac lalu hinggalah tamat fasa ketiga PKP pada 28 April ini.

Iklan
Iklan

Apabila pusat jagaan dan pendidikan berkenaan tidak beroperasi, sudah tentulah ibu bapa tidak menghantar anak mereka ke taska dan tadika.

Begitupun, dari segi yuran, perlukah upah pengasuh tadi dibayar penuh walaupun anak-anak tidak dihantar ke rumah pengasuh atau taska?

Iklan

Bagi meleraikan kekusutan ini, Bahagian Fatwa, Jabatan Mufti Negeri Perak ada memberi panduan tentang perkara berkenaan.

Dalam hal ini, seharusnya ada perbincangan antara pihak taska, pengasuh, tadika, pusat tuisyen dan sebagainya bersama ibu bapa.

Iklan

Perbincangan itu khususnya berdasarkan kepada terma dan syarat perjanjian atau sebarang peraturan yang telah dipersetujui lebih awal jika ada dengan terma, syarat serta peraturan tersebut tidak melanggar syarak.

Andai kata, bayaran telah dibuat lebih awal, maka lebihan daripada pembayaran tersebut adalah hak milik pembayar. Menjadi amanah pengusaha taska atau pengasuh untuk menjaganya dan ia boleh dituntut oleh ibu bapa tersebut pada bila-bila masa.

[caption id="attachment_6364" width="1024"] JIKA ibu bapa telah membayar yuran atau upah pengasuh, taska, tadika, tuisyen dan sebagainya terlebih dahulu, maka menjadi amanah pihak-pihak berkenaan untuk menjaganya dengan sebaiknya serta ia tidak boleh digunakan.[/caption]

Ketahuilah bahawa yuran atau upah berkenaan boleh disimpan atas dasar amanah oleh pihak taska, sekolah atau pengasuh atas izin pembayar sehinggalah keadaan menjadi normal seperti kebiasaannya.

Namun begitu, seandainya wang tadi telah digunakan, maka pihak taska, sekolah atau pengasuh perlu menggantikannya.

Paling penting dalam perkara ini, bayaran yuran atau upah hanya boleh diambil setakat perkhidmatan yang diberikan sahaja iaitu setakat sebelum PKP akibat Covid-19 bermula.

Masakan tidak, perkara itu berlaku adalah di luar kawalan pihak yang berkontrak (berakad) yang menyebabkan mereka tidak dapat melaksanakan iltizam dan tanggungjwab masing-masing.

Maka, disebabkan itulah kontrak (akad) adalah terfasakh atau terlerai.

Ya, begitulah jawapan yang dilontarkan oleh Jabatan Mufti Negeri Perak. Semoga ia boleh memberi panduan kepada kita.

Apa sekalipun, kembalilah kepada perbincangan bersama yang tidak melanggar syarak.

(Sumber: Facebook Jabatan Mufti Negeri Perak)

Foto: Unsplash & 123rf