SEMUA maklum bahawa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seluruh negara masih tidak membenarkan aktiviti merentas negeri.
Namun, kerajaan masih memberi kelonggaran kepada orang ramai yang mempunyai kecemasan seperti kematian dengan syarat mendapatkan kebenaran Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Jika mendapati diri kita kurang sihat dan bergejala, langkah paling selamat untuk diri sendiri dan orang lain ialah tidak perlu rentas negeri.
Walaupun jumlah kes jangkitan baharu menunjukkan trend penurunan, namun belum tiba masanya untuk kita rentas negeri kerana pandemik ini masih bahaya dan jangkitan sangat mudah berlaku.
Dan kini, kontak rapat keluarga telah menjangkiti kontak rapat di tempat kerja serta kontak rapat sosial termasuk geng jogging dan geng main golf.
Kluster Bukit Bayas adalah kluster rentas negeri yang terbaharu di Terengganu melibatkan 48 kes positif setakat 12 Mac dan merebak di lima daerah.
Bak kata Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Nor Azimi Yunus, patuhi SOP ketika ziarah ahli keluarga meninggal.
Sebelum ini, kejadian sama pernah berlaku di Besut, apabila ahli keluarga dari Kuantan dan Johor balik menziarahi nenek yang berusia 100 tahun yang sakit tua.
Lima ahli keluarga itu telah dikesan positif Covid-19 termasuk nenek yang sedang uzur itu dan akhirnya meninggal dunia.
Selain itu, kluster Pasai di Sarawak juga kluster rentas negeri melibatkan kes indeks dari Johor balik ke Sibu bagi menghadiri pengebumian mendiang bapanya dan menyebarkan jangkitan ke rumah-rumah panjang.
Baca juga Hati-hati, individu ingkar SOP Covid-19 berdepan denda RM10,000 mulai hari ini
Dua kluster ini menjadi contoh mengapa pergerakan rentas negeri masih tidak dibenarkan.
Ambillah iktibar, terus amalkan SOP yang ditetapkan bagi memutuskan rantaian Covid-19 ini.
Sumber: KKM