PANDEMIK Covid-19 bukan saja mengancam nyawa dan tahap kesihatan, tetapi mengubah sama sekali cara dan gaya hidup manusia di seluruh dunia termasuklah di negara kita.
Walaupun ancaman wabak ini belum berakhir, namun kehidupan harian kita sedikit demi sedikit sudahpun mula berubah yang mana masing-masing perlu menyiapkan diri dari segi mental dan fizikal untuk kelangsungan kehidupan seterusnya.
Tidak hanya sekadar mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan seperti memakai pelitup muka, menjaga penjarakan fizikal dan membasuh tangan, orang ramai dilihat proaktif dalam soal penjagaan kesihatan demi melindungi diri dan keluarga daripada serangan virus yang boleh membawa maut itu.
Bagi yang berkemampuan, ramai yang memilih untuk membeli mesin penapisan udara dan tidak kurang juga yang mengupah syarikat tertentu untuk menjalankan kerja-kerja disinfeksi di rumah demi memastikan tiada virus Covid-19 yang 'menumpang' dan menjangkiti ahli keluarga.
Namun, bagaimana pula bagi golongan yang tidak mampu?
Apakah mesin penapisan udara dan kerja-kerja disinfeksi itu satu kemestian terutama untuk mereka yang pernah menjadikan rumah sendiri sebagai pusat kuarantin?
Memetik laporan portal media tempatan, bagi menjawab segala persoalan tersebut, Pakar Virologi dari Universiti Sains Malaysia (USM) Prof Madya Dr Yahya Mat Arip berkata, proses disinfeksi atau membasmi kuman tidak sukar dan boleh dilakukan sendiri oleh orang ramai dengan menggunakan bahan-bahan yang sedia ada di rumah.
Ya! Kita boleh proses sanitasi di rumah dengan sendiri sekali gus menjimatkan kos!
Apa yang perlu kita tahu dan tekankan ketika menjalankan proses sanitasi dengan sendiri adalah seperti berikut :
- Kerja-kerja disinfeksi itu perlu lebih berfokus dengan mengutamakan kawasan atau bilik sekiranya digunakan untuk kuarantin pesakit Covid-19
- Pakaian mereka yang dikuarantin juga perlu dicuci berasingan daripada ahli keluarga lain untuk mengelak jangkitan.
- Pengaliran udara yang baik di dalam rumah kerana ia dapat mengurangkan jangkitan virus yang berjangkit secara berkelompok.
- Sekiranya tiada pengaliran udara yang baik, virus di dalam rembesan yang halus (aerosol) akan berada pada tahap yang lama dan mungkin boleh bertahan sehingga beberapa jam.
- Jika ada pengaliran udara, virus ini akan keluar dan dilarutkan dengan udara di luar. Udara ini akan berpusing dan membersihkan kawasan di dalam rumah menggantikan udara tidak sihat yang terperangkap.
Pada masa sama, selain cecair peluntur, kerja-kerja disinfeksi juga memadai hanya menggunakan air sabun dan kemudian dilapkan sahaja kerana virus ini diselaputi lipid yang akan larut di dalam air sabun.
Jadi, jika korang berkemampuan tidak salah rasanya membeli penapis udara atau mengupah mana-mana syarikat yang sah berdaftar untuk melakukan proses sanitasi dikediaman korang.
Namun, jika sebalik, kerja sanitasi juga boleh dilakukan dengan sendiri cuma perlu lakukan langkah dan kaedah yang betul.
Semoga bermanfaat!