Mati mengejut satu fenomena yang menakutkan

Iklan
BERLAKU ketidaknormalan jantung seperti sakit dada, sesak nafas, pening dan berdebar-debar antara simptom boleh menyebabkan mati mengejut.

Foto: UNSPLASH

BARU-BARU ini rakyat Malaysia digemparkan dengan kes kematian mengejut dua selebriti industri hiburan tanah air iaitu Ashraf Sinclair dan Abam Bocey. Allahyarham Ashraf berusia 41 tahun ketika menghembuskan nafas terakhir di sebuah hospital di Jakarta akibat serang jantung pada 18 Februari lalu. Allahyarham Abam pula meninggal dunia pada usia 32 tahun selepas mengalami demam panas di rumahnya di Gombak, Selangor pada 10 Februari.

Iklan
Iklan

Kedua-duanya tidak menunjukkan sebarang tanda akan meninggal dunia. Terdahulu, beberapa selebriti tempatan lain seperti Hani Mohsin, Syamrin Fotograf, Faizal Yusuf dan Yus Jambu turut meninggal dunia selepas mengalami komplikasi yang sama.

Namun demikian, ada juga yang mengaitkannya dengan serangan jantung. Apatah lagi statistik menunjukkan kira-kira 50 rakyat Malaysia maut akibat penyakit jantung setiap hari sekali gus menjadi punca utama kematian mengejut di negara ini.

Iklan

Menurut Jabatan Perangkaan, jumlah kematian akibat penyakit jantung koronari pada 2018 adalah seramai 18,267 orang.

Risiko kematian mengejut bagaimanapun bukan berpunca daripada serangan sakit jantung semata-mata kerana situasi yang dipanggil ‘jantung terhenti’ juga boleh mengakibatkan kematian mendadak.

Iklan

Pakar Kardiologi Pusat Perubatan Sunway, Dr Yap Yee Guan memberitahu Bernama, orang ramai sering menyamakan kejadian jantung berhenti tiba-tiba sebagai serangan jantung, namun sebenarnya kedua-duanya adalah berbeza.

Beliau menjelaskan, serangan jantung berlaku apabila aliran darah ke jantung secara tiba-tiba berkurangan disebabkan oleh arteri koronari yang dihentikan akibat plak pecah.

[caption id="attachment_1951" width="1024"] SERANGAN jantung atau penyakit kardiovaskular boleh berlaku sekiranya individu tidak mengambil berat kesihatan termasuk menjalani pemeriksaan secara berkala.[/caption]

"Kejadian jantung berhenti secara mendadak boleh menyerang sesiapa sahaja sama ada atlet ataupun bukan atlet. Jika atlet muda, ia lazimnya disebabkan oleh faktor genetik.

"Kebanyakan kes kematian secara tiba-tiba akibat jantung dalam kalangan atlet muda disebabkan oleh aritmia ventrikular (jantung berdegup secara tidak normal) biasanya dikekalkan dari takikardia ventrikel (jantung berdegup dengan cepat) atau fibrilasi ventrikel (rentak jantung yang tidak normal, cepat dan tidak sekata),” jelasnya.

Serangan tanpa simptom

Dalam pada itu, menurut Pakar Kardiologi dari Institut Jantung Negara (IJN), Dr. Beni Isman Rusani, kematian mengejut akibat jantung kebiasaannya didatangkan dengan simptom-simptom seperti sakit dada, sesak nafas, pening dan dada berdebar-debar dalam tempoh kira-kira sejam sebelum serangan.

[caption id="attachment_1937" width="960"] DR Beni Isman Rusani[/caption]

Bagaimanapun, katanya, lebih daripada separuh kes yang dilaporkan, kematian mengejut akibat jantung boleh berlaku secara mengejut tanpa tanda-tanda yang dinyatakan tadi.

Berhubung jantung berhenti akibat aritmia ventrikular, ujar beliau, keadaan yang berlaku disebabkan jantung tidak dapat mengepam darah dan jika tidak dirawat awal dengan teknik Pernafasan Resutasi Kardiopulmonari (CPR), ia boleh menyebabkan kematian dalam beberapa minit sahaja.

Secara teknikalnya, kematian mengejut akibat jantung berhenti boleh berlaku kepada penghidap penyakit jantung koronari dan terdapat kes yang mana mereka sedang duduk berehat atau sedang tidur juga boleh menyebabkan kematian secara tiba-tiba, ujarnya.

"Mereka yang mengalami sakit jantung juga boleh berisiko ke arah penyakit jantung yang melibatkan sistem pengaliran elektrik jantung. Sebagai contoh, sindrom Brugada, sindrom pendek dan panjang QT,” terangnya ketika dihubungi baru-baru ini.

Tindakan awal

Sementara itu, Pakar Perubatan Kecemasan, Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh, Pahang, Dr Sazwan Reezal Shamsudin menjelaskan, langkah pertama jika mangsa dalam keadaan sedar setelah mengalami serangan jantung adalah segera menghentikan aktiviti yang sedang dilakukannya.

[caption id="attachment_1943" width="265"] DR Sazwan Reezal Shamsudin[/caption]

"Sebagai contoh, jika mangsa sedang bersukan, hentikan daripada terus bersukan dan jika mangsa sedang memandu, segeralah memberhentikan kenderaan di tepi jalan," kata Dr Sazwan.

Langkah seterusnya adalah segera mendapatkan bantuan terutamanya daripada orang-orang terdekat yang berada sekitar kawasan tempat kejadian."Jika mangsa tidak mampu bergerak atau berjalan, segeralah menghubungi nombor telefon bantuan kecemasan, 999,” tambahnya.

Mengenai langkah-langkah yang boleh dilakukan anggota masyarakat bagi membantu mangsa-mangsa sakit jantung dan jantung berhenti, ujarnya, bantuan asas yang boleh diberikan adalah mempastikan mangsa duduk dan meletakkan mangsa dalam posisi yang selesa.

"Jika mangsa merupakan seorang pesakit jantung misalnya, bolehlah membantu mangsa mengeluarkan ubat Tablet Glyceryl Trinitrate dan biasanya diletakkan di bawah lidah mangsa."Paling penting sekali dapatkan bantuan kecemasan dengan mendail 999 dan jika jarak antara tempat kejadian adalah hampir dengan hospital, bolehlah membantu membawa mangsa dengan segera,” ujar beliau.

Sekiranya keadaan mangsa tidak sedarkan diri, tiada nadi dan berhenti bernafas, beliau memberitahu, rawatan CPR perlu dilakukan bagi menyelamatkan nyawa selain penggunaan peranti Automated Ellectrical Defibrillator (AED) oleh individu-individu terlatih.

"Biasanya cara menggunakan AED ini diajar bersama CPR. Bantuan-bantuan ini jika diberikan sementara menunggu ketibaan ambulans meninggikan peluang untuk mangsa diselamatkan," jelasnya.

[caption id="attachment_1952" width="1024"] PERANTI defibrilator elektrik automatik (AED) berfungsi untuk memberikan renjatan elektrik ke jantung yang mengalami ritma tidak normal.[/caption]

Misteri kematian mengejut ketika bersukan

Seringkali kita tertanya-tanya mengapakah kes kematian mengejut juga boleh terjadi dalam kalangan individu-individu yang aktif bersukan dan mengamalkan gaya hidup cergas?

Tidak kira sama ada aktiviti riadah berkenaan adalah joging, badminton, berbasikal ataupun bola sepak, kematian boleh berlaku walaupun individu terbabit dikenali tidak menghidap sebarang penyakit kronik.

Bagi mengulas perkara berkenaan, Pakar Kesihatan Pekerjaan (OHD), Dr Khairil Idham Ismail berkata, kajian telah menunjukkan aktiviti sukan mampu memberikan pelbagai manfaat kesihatan termasuk mengurangkan risiko penyakit tidak berjangkit seperti penyakit kardiovaskular, kencing manis, darah tinggi dan obesiti.

"Bagaimanapun, kematian mengejut boleh terjadi berpunca daripada struktur atau ketidaknormalan pada jantung. Selain itu, aktiviti fizikal yang mendadak atau berlebihan pada jantung yang sememangnya tidak normal boleh meningkatkan lagi risiko kepada terjadinya kematian secara mengejut,” ujarnya.

Katanya, berdasarkan laporan kajian Chugh S.S dan Weiss J.B pada tahun 2015 mendapati insiden tahunan kematian mengejut berkaitan dengan aktiviti sukan adalah 4.6 per 1 juta populasi.

Antara contoh kes yang menarik perhatian umum ialah kematian mengejut pemain bola sepak Cameroon, Marc-Vivien Foé . Bedah siasat yang dijalankan mendapati punca kematiannya adalah disebabkan Hypertrophic cardiomyopath iaitu faktor keturunan yang diketahui mengakibatkan beban kecelaruan aktiviti elektrikal di dalam jantung.

"Mati mengejut dalam situasi itu bermaksud jantung berhenti berfungsi secara tiba-tiba. Dalam keadaan ini, fungsi elektrikal jantung yang menentukan ritma serta kadar jantung berdegup, secara tiba-tiba berhenti atau mengalami kecelaruan ritma yang dipanggil fibrilasi ventrikel," katanya.

[caption id="attachment_1935" width="1024"] BERSUKAN perlu dilakukan dengan tatacara yang betul agar tidak berlaku komplikasi lain.[/caption]

Berkisar kes kematian mengejut akibat aktiviti sukan yang dijalankan pada waktu malam, Dr Khairil sekali lagi menyifatkan tanggapan berkenaan tidak mempunyai kebenaran yang mutlak."Terdapat beberapa manfaat bersukan dan menjalani latihan pada waktu malam seperti kurangnya risiko kepada stres haba dan strok haba,” katanya.

Malah, kata beliau, kajian yang dilakukan terhadap 1,000 orang dewasa di Amerika Syarikat menunjukkan senaman di waktu malam (kurang dari 4 jam sebelum tidur) tidak dikaitkan dengan kekurangan kualiti tidur.

Walau bagaimanapun, adalah dinasihatkan supaya senaman pada waktu malam perlulah dilakukan dengan tatacara yang sesuai agar tidak menjejaskan jam biologi seseorang individu berkenaan.

ANEKDOT 

 ANTARA kes mati mengejut yang dilaporkan:

- 17 Februari 2019

Seorang pelajar tingkatan empat, Norsahfiza Jaratin, 16, rebah lalu tidak sedarkan diri ketika mengambil bahagian dalam acara larian pada sukan tahunan di padang Kolej Matrikulasi Labuan, Sabah. Mangsa merupakan pelari pecut bagi acara 200 meter (m) mewakili Sekolah Menengah Kebangsaan Rancha-Rancha disahkan meninggal dunia sebaik sahaja tiba di Hospital Nukleus Labuan.

- 26 Mac 2019

Wartawan Malaysian Nanban, P Chandra Segar, 62, ditemui mati di dalam bilik tidur rumahnya di Taman Lim Garden, Ipoh, Perak. Siasatan yang dijalankan mendapati individu itu tinggal seorang diri setelah isterinya meninggal dunia enam tahun lalu dan mempunyai dua anak perempuan dan seorang anak lelaki. Hasil siasatan di keseluruhan tempat kejadian tidak menjumpai apa-apa tanda mengandungi unsur-unsur jenayah dan pengamal media tersebut disahkan mati mengejut.

- 28 April 2019

Peserta Borneo Marathon, Bitah Sabenting, 56, yang tiba-tiba jatuh pengsan sebelum menamatkan larian 10 kilometer disahkan mati mengejut oleh pihak Hospital Queen Elizabeth. Mangsa yang berasal dari Kota Belud, Sabah difahamkan pengsan secara tiba-tiba di Jalan Stadium Likas ketika berada berhampiran garisan penamat acara larian berkenaan.

- 18 Oktober 2019

Seorang guru besar Sekolah Kebangsaan Batu 38, Japri Ismail, 53, disahkan meninggal dunia selepas bermain badminton di Sungai Besar, Selangor. Bedah siasat yang dilakukan di Hospital Tengku Ampuan Jemaah mendapati mangsa meninggal dunia akibat serangan jantung.

- 30 Oktober 2019

Seorang guru dari Sik, Kedah, Fauziah Yop, 46, ditemui mati dalam keadaan tertiarap di rumahnya. Hasil bedah siasat di Hospital Sultanah Bahiyah mendapati punca kematian disebabkan Coronary atherosclerosis (kegagalan arteri).

- 9 November 2019

Seorang warga emas, Siti Halimah Salleh, 71, yang tinggal sendirian di Parit 2 Timur, Sungai Besar, Selangor ditemui meninggal dunia dalam keadaan tertiarap di hadapan bilik air kediamannya. Mangsa sebelum itu dilaporkan kerap mendapatkan rawatan berikutan masalah tekanan darah rendah.

- 17 November 2019

Seorang guru, Ahmad Nizam Othman, 51, ditemui meninggal dunia akibat serangan jantung di tepi Jalan Sungai Lalang, Sungai Petani, Kedah. Tiada sebarang kecederaan secara fizikal atau unsur jenayah yang ditemui pada mangsa. Difahamkan mangsa pernah mendapatkan rawatan bagi penyakit strok ringan dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

- 27 November 2019

Model dan aktor kelahiran Taiwan, Godfrey Gao, 35, disahkan meninggal dunia ketika penggambaran sebuah siri realiti TV di Zhejiang di timur China. Mangsa yang menjadi tetamu undangan dalam rancangan menguji ketahanan fizikal para peserta itu didakwa sedang berlari apabila dia jatuh pengsan secara tiba-tiba pada jam 2 pagi (waktu tempatan). Gao bagaimanapun disahkan meninggal dunia tiga jam kemudian kerana jantung terhenti.

- 3 Disember 2019

Seorang pesara, Din Abdullah, 66, dilaporkan meninggal dunia di tempat duduk pemandu Proton Waja dipercayai akibat serangan jantung di Kampung Baru Merang, Setiu. Mangsa dilaporkan memberhentikan kenderaan di tepi jalan sebelum didapati tidak sedarkan diri. Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.