CUKUP berpengaruh! Nama Tunku Ismail Idris ibni Sultan Ibrahim Ismail atau juga lebih dikenali dengan gelaran TMJ (Tunku Mahkota Johor) adalah nama yang tidak asing lagi dalam kalangan rakyat di Malaysia.
TMJ juga dilihat sangat aktif di platform laman sosial yang mana beliau sering berkongsi aktiviti harian kepada pengikutnya di Instagram, Facebook dan juga Twitter.
Putera sulung Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ismail dan permaisuri, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah itu juga dilihat gemar berkongsi kehidupan mewahnya di Instagram yang pastinya mampu memberikan inspirasi siapa sahaja yang melihatnya.
Setiap foto dan video yang dimuat naik seperti kereta mewah, pesawat peribadi sehinggalah jam tangan berjenama, gaya hidup TMJ cukup mengagumkan malahan menjadi impian dan ikutan setiap orang.
Terbaharu, TMJ dilihat berkongsi foto beliau menggayakan seutas jam tangan getah keluaran Gshock buatan Jepun yang dimiliki sepenuhnya oleh syarikat gergasi terkemuka dunia iaitu Casio.
Foto tersebut dikongsikan kepada umum melalui Instagram Story miliknya beberapa jam yang lalu.
Seperti yang dijangka, foto tersebut kini semakin tular dan menjadi bualan hangat orang ramai terutama dalam kalangan komuniti Gshock sendiri.
Ada dalam kalangan mereka mula menjangkakan permintaan model tersebut akan naik secara mendadak dan harganya juga berkemungkinan secara tak langsung turut meningkat ekoran permintaan tinggi dan stok yang agak terhad.
Model yang digayakan oleh TMJ adalah GA-2100SKE-7ADR atau juga kini digelar ‘Gshock TMJ Skeleton’ adalah model khas yang dikeluarkan oleh Gshock dengan warna jelly lutsinar pada bahagian tali dan rangka jam tersebut yang kelihatan sangat ekslusif buat si pemakai.
Namun, ini bukan lah kali pertama Tunku menggayakan jam model seperti itu. Terdahulu, TMJ juga pernah menggayakan model serupa tetapi warna yang berbeza sehinggakan series model tersebut kini digelar Gshock TMJ dalam kalangan peminat.
Model tersebut adalah series yang sama tapi berwarna hitam penuh dan tak salah lagi peminat jam tersebut menggelarkannya TMJ Blackout!
Sehingga kini harga pasaran TMJ Blackout masih gah dan permintaan model tersebut masih tinggi sehingga ke hari ini walaupun model itu hanyalah keluaran ‘biasa’ dalam pasaran di Jepun.
Adakah nasib TMJ Skeleton juga akan mengikut jejak serupa seperti TMJ Blackout? Sama-sama kita tunggu dan lihat!