DIAM tak diam Ramadan bakal muncul selang beberapa minggu sahaja lagi dan umat Islam sudah mula terfikir tentang persiapan untuk menyambut bulan ibadat itu walaupun dalam norma baharu.
Rancangan berbuka iftar, solat jemaah terawih, bacaan tadarus al-Quran and program qiamullail juga dijangka bakal dibolehkan semua tapi mengikut prosedur operasi standard (SOP) ketat yang telah ditetapkan.
Namun, persoalan yang muncul dan berlegar-legar dalam fikiran orang ramai adalah mengenai penerimaan vaksin Covid-19 ketika bulan tersebut.
Adakah terbatal puasa sekiranya kita menerima suntikan vaksin Covid-19 ketika sedang berpuasa atau apakah hukumnya?
Menjawab segala kemusykilan dan persoalan orang ramai, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri menjelaskan, suntikan vaksin Covid-19 pada bulan Ramadan adalah harus dan ia tidak membatalkan puasa.
Jelas Dr, Zulkifli lagi, perkara tersebut telah diputuskan dalam Majlis Fatwa Kebangsaan baru-baru ini.
Justeru, beliau berkata dengan pandangan Mufti Besar Arab Saudi itu, ia selaras dengan pandangan ahli fatwa di negara ini.
Vaksinasi Covid-19 diklasifikasikan sebagai ubat pencegahan untuk individu seperti yang disarankan agama Islam terutamanya ketika musim pandemik.
Selain itu, menurut Persatuan Perubatan Islam British, suntikan subkutan, subdermal, intramuskular, intraosseous atau intraartikular yang tidak melibatkan makanan tidak membatalkan puasa tanpa mengira kandungan bahan yang disuntik dan memasuki peredaran darah.
Maka terjawab sudah persoalan yang mana kebimbangan orang ramai dilihat semakin meningkat apakah ibadah puasa boleh terbatal jika menerima suntikan vaksin tersebut yang kini semakin tular dibahas di sosial media.
Jadi, jangan jadikan puasa satu alasan untuk mengelak daripada menerima suntikan vaksin Covid-19! Jangan lagi bertangguh dan segeralah mendaftar serta sokong penuh usaha yang telah dibuat oleh pihak kerajaan.
Semoga satu hari nanti virus jahat bergelar Covid-19 akan lenyap dalam muka bumi ini tidak lama lagi! Kena yakin dan kita pasti menang!