Phuket akan dibuka semula bermula Julai kepada pelancong yang sudah divaksin

Iklan
Phuket akan dibuka semula bermula Julai kepada pelancong yang sudah divaksin

BERITA baik bagi mereka yang gemar bercuti di luar negeri! Seperti kita semua sedia maklum, akibat daripada penularan pandemik Covid-19, pintu sempadan negara telah ditutup rapat sama juga seperti beberapa negara lain.

Namun, untuk mereka yang ingin bercuti ke Thailand, pelancong asing yang sudah divaksin akan dikecualikan daripada syarat menjalani kuarantin setibanya mereka di pulau peranginan, Phuket bermula 1 Julai ini.

Iklan
Iklan

Ya, memetik laporan Bloomberg, sebuah panel yang dipengerusikan Perdana Menteri Thailand, Prayuth Chan Ocha pada 26 Mac lalu telah meluluskan saranan sektor swasta dan dewan-dewan perniagaan Phuket supaya memberi suntikan vaksin kepada sekurang-kurangnya 70 peratus penduduk pulau tersebut.

Hal tersebut adalah agar persiapan dapat dijalankan untuk menyambut kembali pelancong yang sudah divaksin, kata Menteri Pelancongan Thailand, Phiphat Ratchakitprakarn.

Iklan

Kerajaan Thailand juga merancang untuk merintis rancangan membuka semula negara itu di Phuket sebelum memperluaskan usaha tersebut ke tempat-tempat pelancongan lain seperti Koh Samui.

Semua itu demi merancakkan kembali sektor pelancongan negara yang menjadi lumpuh tanpa ketibaan jutaan pelancongnya.

Iklan

Menurut sumber, sektor pelancongan Thailand membentuk sekitar 20 peratus ekonomi Thailand sebelum terjadinya pandemik Covid-19.

Perkembangan terkini ini juga bermakna, Phuket akan membuka semula pintunya tiga bulan lebih awal berbanding wilayah lain di Thailand yang dijangka menyambut para pelancong yang sudah divaksin hanya pada Oktober.

Sementara itu, penduduk Phuket akan didahulukan dalam program vaksinasi negara itu dengan lebih 930,000 dos akan diberikan sebelum pulau tersebut dibuka semula.

Pembukaan awal Phuket berpotensi menyuntik lebih 30 bilion baht kira-kira hamper RM 4juta ke dalam ekonomi Thailand.

Sungguhpun begitu, sama ada rancangan itu akan berhasil atau tidak, tetap bergantung kepada perjanjian mengiktiraf sijil imunisasi dengan negara-negara lain.

Sebelum ini Pulau Phuket, Thailand antara destinasi pilihan pelancong termasuk dari Malaysia yang ingin bersantai di pantai serta merasai kemeriahan pelbagai aktiviti menyeronokkan.

Namun kini akibat kesan pandemik Covid-19, suasana di pulau terkenal itu bertukar sepi malah penari 'go-go' dilihat hanya duduk bermain telefon di bar kosong ekoran ketiadaan.

Kolam renang, pantai yang biasanya sesak dengan pengunjung kini lenggang berbanding dua tahun lalu lebih daripada sembilan juta pelancong melawat Pulau Phuket.

Diharap ekonomi dan sektor perlancongan akan kembali beroperasi seperti sedia kala selepas Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan berjaya dilaksanakan sepenuhnya seperti apa yang telah dijadualkan.

SinarPlus juga percaya ramai yang dah tak sabar untuk pergi melancong bukan? Tapi sebelum itu dah daftar ke belum untuk Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan? Kalau belum tunggu apa lagi? Daftar segera jangan tangguh!

Jangan nanti cemburu pula lihat kawan-kawan keluar pergi melancong!