MUNGKIN ada di antara kita yang pernah meminta bantuan PLUSRonda bila berhadapan dengan masalah sewaktu menggunakan lebuh raya kendalian PLUS Malaysia Berhad (PLUS).
Namun tahukah korang, hari ini merupakan ulang tahun yang ke-31 PLUSRonda sejak ditubuhkan pada 1 April 1990.
Masih mengekalkan objektif penubuhannya iaitu membantu para pelanggan lebuh raya yang menghadapi masalah ketika berada di lebuh raya.
Pasukan PLUSRonda yang cukup ikonik dan dikenali dengan tugasan mereka bagi memastikan keselamatan di sepanjang lebih 1,000 kilometer jajaran lebuh raya PLUS dan LPT2 dan mempunyai pelanggan lebuh raya lebih daripada 1.3 juta kenderaan setiap hari.
Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail dalam satu kenyataan mengatakan sejak tiga dekad yang lalu, Wira Lebuh raya PLUS yang memakai seragam biru ini telah banyak menyelamatkan nyawa dan membantu para pelanggan yang mengalami masalah ketika berada di lebuh raya, sama ada mengalami tayar pancit, kenderaan rosak, membantu pelanggan lebuh raya melahirkan bayi sehinggalah membantu warga emas berjalan dari kereta ke laluan masuk Kawasan Rehat &
Rawat (R&R).
PLUS telah mengorak langkah menerusi transformasi digital secara berperingkat sejak tahun 2017.
Selain itu, inovasi terbaharu iaitu PLUSRonda Intelligent Management System (PRIME) yang menggantikan Borang Catatan PLUSRonda untuk merekod sebarang insiden di lebuh raya berupaya menjimatkan masa dan membolehkan pasukan PLUSRonda lebih fokus untuk memberi perkhidmatan yang lebih baik ketika berhadapan dengan sebarang insiden.
Menurut Ketua Pegawai Operasi PLUS, Zakaria Ahmad Zabidi, selama 31 tahun sejak penubuhan pasukan PLUSRonda, dengan adanya teknologi PRIME ini, ia amat penting bagi membolehkan pasukan PLUSRonda berkomunikasi secara terus dengan Pusat Kawalan Trafik PLUS bagi mengkoordinasi bantuan kepada pelanggan lebuh raya.
Seramai 589 anggota PLUSRonda bertekad akan terus berusaha dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik berikutan pandemik Covid-19 yang masih melanda negara.
Bertugas selama 24 jam sehari, 7 hari seminggu dan 365 hari dalam setahun meliputi jajaran Lebuh raya PLUS serta LPT2.
Mereka juga turut bekerja rapat dengan pasukan Peronda Lebuhraya PDRM, Jabatan Pengangkutan Jalan dan agensi penguatkuasaan yang lain dalam memastikan lebuh raya PLUS selamat digunakan.
Bertemakan 'Walau Ketika Pandemik, PLUSRonda Tetap Dinamik' untuk ulang tahun PLUSRonda tahun ini yang juga bertepatan dengan negara yang masih berusaha memerangi penularan wabak Covid-19 dan bersesuaian dengan norma baharu.
Baca juga Gangguan air di Selangor, KL pada 6-9 April, ini senarai lengkap kawasan terlibat
Berikutan dengan kehidupan norma baharu yang telah menjadi kebiasaan dalam kehidupan masa kini serta pergerakan rentas negeri masih tidak dibenarkan, pasukan PLUSRonda tetap memastikan tugasan mereka dilaksanakan walaupun ketika berdepan dengan cuaca hujan mahupun panas.
Maka, tujuan utama bagi meraikan Wira Lebuh raya ini adalah sebagai tanda penghargaan kepada mereka.
Selamat Hari PLUSRonda yang ke-31!