Tibi: Angkara kuman paling mengerikan

Iklan

SEMPENA HARI TIBI SEDUNIA

PENYAKIT tibi secara rasmi direkodkan pada tahun 1882 oleh Dr Robert Koch. Meskipun sudah 139 setahun berlalu, penyakit berkenaan masih menular dalam kalangan penduduk dunia era moden.

Iklan
Iklan

Bayangkan risiko penyakit yang sampai saat ini masih menjadi epidemik di alam semesta boleh berlaku kepada hampir semua tingkatan sosial ekonomi, miskin ataupun kaya dan tidak mengira batasan usia.

Berdasarkan statistik, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan, kira-kira 10 juta kes tibi direkodkan dengan 1.5 juta mangsa terkorban.

Iklan

Lebih 95 peratus kematian itu terjadi di negara-negara sedang membangun dan kira-kira 50 peratus daripada terdiri daripada rakyat India, China, Indonesia, Pakistan dan Filipina.

Di peringkat lokal, laman web rasmi MyHealth Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendedahkan, tibi merupakan penyakit berjangkit kedua tertinggi di negara ini.

Iklan

Pada tahun lalu, ketika Hari Sambutan Tibi Sedunia, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pada tahun 2019, sebanyak 26,352 kes dilaporkan iaitu peningkatan sebanyak 2 peratus berbanding 25,837 kes pada tahun 2018.

"Kadar kematian tibi di negara ini pula (tahun 2019) adalah 3.7 peratus bagi setiap 100,000 penduduk," katanya.

Sehubungan itu, penyakit tibi merupakan salah satu fokus utama kementerian selaras dengan hasrat WHO ke arah eliminasi penyakit tersebut menjelang tahun 2050.

Bagi mengulas lanjut penyakit kuno itu, SinarPlus mendapatkan pandangan Pakar Perunding Perubatan Dalaman dan Hematologi, Hospital Pakar KPJ Bandar Maharani, Muar, Dr Norfaizal Abd Latiff.

[caption id="attachment_42050" width="1024"] Dr Norfaizal Abd Latiff.[/caption]

Kata beliau, penyakit tuberculosis atau tibi bukan sahaja menjadi isu perubatan biologi, malah berkait rapat dengan kelas sosial seperti keselesaan psikologi, taraf hidup dan kebersihan seseorang individu.

Risiko maut

Persoalan utama, bagaimana tibi boleh tercetus? Menjawab pertanyaan itu, beliau menjelaskan:"Ia berlaku disebabkan oleh jangkitan kuman yang dikenali sebagai Mycobacterium tuberculosis yang mana merupakan sejenis bakteria aerob yang memerlukan oksigen untuk hidup.

"Penyakit ini boleh berjangkit kepada sesiapa sahaja tanpa mengira usia individu malah bayi atau kanak-kanak juga merupakan golongan berisiko tinggi selain warga emas dan penghidap penyakit kronik."

Ujar pakar terbabit, tibi atau juga dikenali sebagai batuk kering akan menunjukkan simptom sekiranya ia menjangkiti pesakit. Antaranya mengalami batuk berpanjangan melebihi dua minggu, demam, berpeluh pada waktu malam, kurang selera makan, badan mula menyusut dan juga batuk berdarah.

Kelaziman yang biasa didengari masyarakat, tibi hanya 'menyerang' paru-paru. Namun demikian, kata Dr Norfaizal, kuman itu sebenarnya juga boleh menjangkiti organ lain iaitu ekstrapulmonari tuberculosis seperti otak (tibi meningitis), tulang (tibi spine), kelenjar (tibi lymph node), usus (tibi gut) dan organ-organ lain.

Beliau menegaskan, tibilah bukanlah satu penyakit yang boleh dipandang sebelah mata. Masakan tidak, jika pesakit tibi lewat mendapatkan rawatan, impaknya bukan sahaja kepada diri mereka sendiri, malah kepada keluarga, masyarakat dan persekitaran.

Pernyataan itu adalah bersandarkan fakta bahawa kuman Mycobacterium tuberculosis yang dibebaskan ke ruang udara oleh pembawa akan menyebabkan bakteria itu tersebar kepada orang sekeliling yang menghirup udara yang sama.

Buktinya, kematian kes tibi bagi kohort pesakit tahun 2018 mencapai graf yang tinggi dan membimbangkan iaitu sebanyak 11.3 peratus.

Salah tafsir

Sementara itu, Pensyarah di Fakulti Perubatan, Biosains dan Kejururawatan, Universiti MAHSA, Prof Datuk Dr Abdul Razak Muttalif yang dihubungi ingin memperbetulkan perspektif orang awam terhadap cara jangkitan tibi.

[caption id="attachment_42051" width="1024"] Prof Datuk Dr Abdul Razak Muttalif.[/caption]

"Ingin saya betulkan salah faham ramai orang yang mengatakan bahawa tibi berjangkit melalui sentuhan, makanan atau minuman, sebaliknya ia berpunca daripada jangkitan melalui udara.

"Begitu juga dengan tanda-tanda atau simptom penyakit berkenaan. Batuk berdarah memang antara petandanya, namun demikian ia bukanlah sesuatu yang biasa. Seperkara, masyarakat kita pada hari kini, apabila seseorang batuk berdarah, mereka akan terus berfikir bahawa diri mereka disantau ataupun terkena buatan orang, namun hakikatnya ia bukan ke arah itu," tegas beliau.

Mengulas lanjut, Dr Abdul Razak memberitahu, jangkitan tibi boleh diklasifikasikan kepada dua jenis iaitu aktif dan terpendam.

"Bagi tibi terpendam, selalunya individu ini memiliki tubuh yang sihat, namun terdedah kepada Mycobacterium tuberculosis yang disebarkan melalui batuk, bersin dan ketawa pesakit tibi.

Antara faktor yang boleh meningkatkan potensi tibi aktif jika ia dihidapi oleh pesakit kencing manis tidak terkawal, pesakit kanser, mereka yang dijangkiti kuman lain seperti HIV, hepatitis B dan C serta pesakit yang menjalani prosedur pemindahan organ. Tidak ketinggalan adalah kumpulan pekerja hospital dan ahli keluarga di rumah.

Kata Pakar Paru-Paru, Hospital Sentosa, Kuala Lumpur itu lagi, individu yang didiagnos sebagai tibi terpendam kemungkinan akan menjadi tibi aktif dengan kadar pertambahan satu peratus setiap tahun, berbanding mereka yang sihat hanya satu peratus bagi tempoh 10 tahun dan akan dipantau selama beberapa tahun.

Oleh yang demikian, pesan Dr Abdul Razak, dapatkan rawatan segera kerana dengan kaedah itu sahaja jangkitan kuman tibi dapat dikawal.

Justeru, beliau menitipkan pesanan agar para penjaga termasuk mereka yang mempunyai simptom tibi disaran memakai pelitup muka jenis N95 sebagai langkah berjaga-jaga mengekang penularan bakteria maut itu.

Mengenai rawatan pula, SinarPlus kembali bertanyakan soalan itu kepada Dr Norfaizal. Beritahu beliau, ia mengambil masa selama enam bulan jika melibatkan tibi pada paru-paru.

Katanya, dalam strategi utama Program Pencegahan dan Kawalan Penyakit Tibi KKM, ia merangkumi pengesanan awal penyakit dan memastikan rawatan diberikan akan dipatuhi pesakit sehingga sembuh.

"Ia sangat penting supaya pesakit tidak lagi merebakkan penyakit kepada orang lain. Selain itu, saringan golongan berisiko tinggi terutama pengesanan kontak rapat pesakit juga merupakan satu usaha yang signifikan bagi pengesanan awal penyakit ini,” katanya.

Sejajar dengan misi KKM untuk sifar kes tibi pada tahun 2035, ujar Dr Norfaizal, pengambilan vaksin BCG harus diwajibkan kepada semua bayi yang baru lahir.

"Vaksin ini berfungsi untuk merangsang sistem imun kita bagi menghasilkan antibodi terhadap kuman tibi,” jelasnya.

Nurul Saadiah pulih selepas berbulan-bulan dapatkan rawatan matikan kuman

NURUL SAADIAH ALI, 27, antara individu yang pernah melalui detik cemas apabila disahkan mempunyai penyakit tibi semasa sedang melanjutkan pengajian di institusi swasta dua tahun lalu.

"Sebenarnya, saya sama sekali tidak menyangka perkara tersebut akan berlaku. Semunya bermula dengan simptom demam panas, batuk berkahak dan berdarah. Saya kemudia berjumpa dengan doktor setelah hampir dua minggu masalah itu tak reda, tambahan berat badan saya turun mendadak iaitu kira-kira 8 kilogram,” beritahu anak tunggal kelahiran Sabah.

Apabila diberitahu beliau menghidap tibi selepas analisis sampel kahak dibuat, wanita itu berkata, dirinya bagaikan tidak percaya sama sekali.

"Bayangkan, pada usia seawal usia 20-an saya sudah mempunyai penyakit itu. Setelah diselidik, rupa-rupanya, arwah datuk sebelah bapa memiliki masalah serupa.

"Kisah dua tahun lalu banyak memberi pengajaran kepada saya setelah terpaksa tinggal di hospital hampir beberapa bulan lama untuk mematikan kuman yang menyebabkann masalah tibi,” tuturnya.

Mengakui meskipun pada awalnya sangat takut lantaran kerap memikirkan perkara-perkara yang negatif, Nurul Saadiah berkata, beliau kini menjalani kehidupannya seperti biasa setelah disahkan bebas daripada cengkaman penyakit mengerikan itu.

ANEKDOT

PENYAKIT tibi boleh dibahagikan kepada beberapa jenis iaitu:

  1. Tibi paru-paru

Tibi paru-paru lebih dikenali sebagai tuberkulosis. Gejalanya adalah seperti batuk berterusan selama lebih daripada tiga minggu, batuk darah, batuk berkahak, sakit dada dan sesak nafas.

  1. Tibi limfa

Jangkitan tibi limfa boleh menyerang beberapa bahagian termasuk kelenjar pada leher. Gejala adalah ketulan pada kelenjar, demam panas, keletihan, penurunan berat badan secara drastik dan berpeluh berlebihan pada waktu malam.

  1. Tibi tulang

Jarang berlaku tetapi jumlah kesnya tinggi di negara-negara dengan kes HIV atau AIDS yang tinggi. Gejalanya adalah sakit belakang, tulang terasa kaku, bengkak pada sekitar tulang dan bentuk tulang berubah.

  1. Tibi milier

Tibi milier berlaku apabila kuman merebak lebih daripada satu organ seperti paru-paru, sumsum tulang dan hati. Namun demikian, ada kemungkinan tibi jenis ini boleh merebak ke tulang belakang, otak dan jantung. Gejala yang dialami oleh pesakit bergantung pada organ yang dijangkiti.

  1. Tibi urogenital

 

Tibi jenis ini akan menyerang organ kemaluan, saluran kencing atau paling sering terjadi pada buah pinggang. Biasanya, ia akan merebak ke buah pinggang daripada paru-paru melalui darah atau kelenjar. Antara gejalanya seperti zakar membengkak, sakit ketika membuang air kecil, aliran air kencing tidak lancar atau berkurang, sakit pelvis, sakit belakang dan kemandulan.

  1. Tibi hati

Tibi yang menyerang hati menyumbang kurang daripada satu peratus daripada semua jangkitan tibi lain. Beberapa gejala tibi hati termasuklah demam panas, saiz hati yang semakin membesar, sakit perut (bahagian atas) dan jaundis.

  1. Tibi pada saluran pencernaan

Tibi gastrointestinal adalah sejenis jangkitan yang menyerang saluran pencernaan daripada mulut hingga ke dubur. Gejala yang dialami oleh penghidapnya adalah seperti sakit perut, hilang selera makan, pengurangan berat, sembelit atau cirit-birit, pening dan muntah.

  1. Tibi meningitis

Tibi juga boleh menyerang sistem membran nipis yang melindungi otak dan saraf tunjang. Beberapa gejala tibi meningitis adalah keletihan, hilang selera makan, sakit kepala yang berterusan, demam, pening, muntah, sakit pada seluruh badan, sensitif terhadap cahaya dan leher terasa kaku.

  1. Tibi peritonitis

Jenis tuberkulosis yang lain adalah tuberkulosis peritonitis yang merupakan keradangan pada lapisan nipis dinding dalaman perut. Gejala yang paling biasa dialami oleh penghidap tibi peritonitis seperti ascites (cecair muncul di rongga perut), pening, muntah, hilang selera makan dan demam panas.

  1. Tibi kulit

Tibi kulit adalah jenis yang paling jarang berlaku. Terdapat beberapa jenis tibi kulit dan boleh merebak pada mana-mana bahagian badan. Biasanya, gejalanya dicirikan oleh penampilan luka terbuka pada siku, tangan, punggung, belakang lutut dan juga kaki.

Sumber: sehatq.com.