PENYANYI dan pelakon Elly Mazlein akhirnya mengesahkan dirinya kini sedang berbadan dua, sekali gus menamatkan spekulasi ramai berkenaan status kehamilannya.
Menerusi perkongsian di laman Instagramnya, Elly atau nama sebenarnya Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi, 41, meluahkan rasa syukur apabila kini hamil cahaya mata kedua.
"Syukur alhamdulillah. Insya-ALLAH tak lama lagi akan hadir nyawa kecil dalam keluarga kami.
"Atok akan dapat cucu lagi. Papa akan dapat seorang lagi anak manja dan kakak Manja (anak sulung) akan dapat adik.
"Tapi kakak Manja mintak ‘sister’. Mana-mana pun tak apa. Hanya mendoakan baby sihat dan dipermudahkan,” ujar Elly.
Mengakui tidak sabar untuk menanti kelahiran cahaya mata keduanya itu, Elly yang baru sahaja tampil dengan lagu Dusta Cinta itu memohon orang ramai mendoakan kesejahteraan dirinya dan bayi dalam kandungan.
"Mama tak sabar nak menjaga kesemua nyawa suri hati ini. Alhamdulillah.
"Terima kasih atas doa, wahai kesayangan semua. Terima kasih sentiasa bersama saya dari saat getir hingga saat pelangi kebahagian datang menerpa.
"Doa saya agar Allah permudahkn urusan anda semua.
"Dan akhir sekali jawapan bagi semua soalan adalah? Alhamdulillah, ya Kak Kepom pregnant,” katanya.
Sebelum ini Elly pernah ditanya tentang spekulasi kehamilan keduanya, namun pengacara Muzikal Lawak Superstar itu tidak memberikan sebarang pengesahan, sebaliknya berjanji untuk berkongsi apabila tiba masanya.
Elly berkahwin dengan Muhammad Azlan Che Nuh yang juga merupakan seorang guru, pada 18 Januari tahun lalu.
Terdahulu, Elly pernah mendirikan rumah tangga dengan pengarah drama, Azmi Hatta pada 9 November 2014, sebelum bercerai pada 15 Oktober 2015.
Menerusi perkahwinan tersebut, Elly dikurniakan seoarang cahaya mata perempuan, Putri Sara Sefhia yang kini berusia lima tahun.
(FOTO: Instagram Elly Mazlein)