RTM meraikan sambutan ulang tahun ke-75 penubuhannya serentak dengan sambutan ulang tahun Orkestra RTM ke-60 yang diraikan pada April tahun ini.
Penganjuran Konsert Kita RTM Gemilang Selamanya, terbitan RTM yang disiarkan secara langsung di TV2 pada Sabtu lalu dilihat sebagai program yang memberikan impak dalam meraikan sambutan berganda dan bermakna kepada seluruh warga RTM.
Seramai 48 pemuzik Orkestra RTM di bawah pimpinan muzik Datuk Mokhzani Ismail dan Jaffar Abdul Rahman (Jari) tampil mengiringi persembahan artis terkemuka tanah air baharu dan lama dalam konsert gemilang itu.
Antara artis terlibat ialah Datuk Jamal Abdillah, Aspalela Abdullah, Rohana Jalil, Ramlah Ram, Misha Omar, Azharina Azhar, Jaclyn Victor, Gerhana Ska Cinta, Haqiem Rusli, Floor 88 dan Sera.
Kebanyakan daripada mereka sebelum ini pernah mencipta nama dan membesar bersama RTM menerusi pelbagai program terbitan stesen TV terunggul ini.
Tidak ketinggalan Liza Abdullah, Salwa Abdul Rahman, Razis Ismail dan Ibnor Riza yang tampil khas dalam Segmen Mekar Sejambak bagi mengimbau program hibueran popular di RTM suatu ketika dahulu.
[caption id="attachment_42270" width="1024"] Antara artis yang membuat persembahan di Konsert Kita RTM Gemilang Selamanya.[/caption]
Selain penyampai berita terkenal yang cukup sinonim dengan RTM, Datuk Harjit Singh Hullon turut membuat penampilan menerusi segmen petikan berita.
Konsert yang dihoskan oleh Jeed Zulkifli dan Fikry Ibrahim itu turut dihadiri Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah.
Sempena sambutan ke-75 pada tahun ini juga, RTM telah berjaya mencipta empat rekod baharu dalam Malaysia Book of Records iaitu Stesen Penyiaran Paling Lama di Malaysia, Forum Paling Banyak Disiarkan Secaraca Langsung Serentak Melalui TV dan Radio RTM, Siaran Langsung Majlis Perasmian Sambutan Ulangtahun Hari RTM ke-75 Tahun Seraca Serentak Melalui TV dan Radio RTM dan Orkestra Paling Lama.
(FOTO: HazelNartWork Studio)