PENGACARA dan usahawan terkenal, Noor Neelofa Mohd Noor tampil memohon maaf berikutan insiden perlanggaran prosedur operasi standard (SOP) berkaitan majlis pernikahannya dan diikuti kontroversi rentas negeri ke Pulau Langkawi baru-baru ini.
Menerusi rakaman video berdurasi dua minit yang dikirimkan kepada media, bintang berusia 32 tahun itu mengakui kesilapannya kerana kurang menjaga sensitiviti berkaitan SOP.
"Saya seikhlas hati meminta maaf atas kesalahan SOP, dalam pengetahuan saya mahupun di luar pengetahuan saya tentang dua isu ini.
"Saya tahu ada banyak perkara yang saya terlepas pandang dan saya sepatutnya memberi contoh yang lebih baik,” ujarnya.
Tambah Neelofa, dia bersama suami, Haris Ismail, 26, dan kedua-dua belah keluarga sudah hadir memberi keterangan di Balai Polis Dang Wangi bagi memberi keterangan dalam membantu siasatan mengenai pelanggaran SOP dan menerima dengan hati terbuka tindakan daripada pihak berkuasa.
"Alhamdulillah, hari ini selesai (beri keterangan kepada polis). Saya dan suami pergi pada awal minggu ini, keluarga mentua beberapa hari lalu dan keluarga saya hari ini.
"Kami mengakui dan menerima dengan hati terbuka segala keputusan dan tindakan oleh pihak berkuasa.
"Sekali lagi saya nak mohon maaf kerana kurang menjaga sensitiviti perkara ini dengan semua,” jelasnya.
Pada kesempatan itu, Neelofa turut mengucapkan selamat menyambut Ramadan al-Mubarak kepada semua umat Islam.
"Saya nak ambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat menyambut bulan Ramadan al-Mubarak, semoga bulan Ramadan ini jadi yang terbaik untuk kita semua.
"Semoga kita semua dalam lindungan ALLAH SWT dan mendapat ketenangan serta keberkatan insya-ALLAH,” akhirinya.
Sebelum ini, polis dilaporkan membuka kertas siasatan membabitkan majlis perkahwinan Neelofa dan PU Riz pada selepas foto menunjukkan jemputan yang hadir tidak mematuhi SOP ketika majlis pernikahan mereka tular di media sosial.
[caption id="attachment_42464" width="1024"] Majlis pernikahan antara Neelofa dan Pu Riz mencetuskan pendebatan ramai mengenai pematuhan SOP majlis perkahwinan.[/caption]
Neelofa selamat diijabkabulkan dengan Haris, iaitu pelakon dan pendakwah bebas yang juga dikenali sebagai PU Riz, di sebuah hotel terkemuka di ibu negara, pada 27 Mac lalu.
Tidak berakhir di situ, pasangan ini sekali lagi mencetuskan kontroversi beberapa hari kemudian apabila memuat naik hantaran memaparkan kunjungan mereka ke Pulau Langkawi, lantas menimbulkan spekulasi pasangan ini sedang berbulan madu.