Kerabu sare, menu ditunggu-tunggu ketika berbuka puasa di Pantai Timur

Iklan

MALAYSIA sememangnya kaya dengan makanan yang unik dengan nama yang pelik, namun rasanya sangat lazat.

Antaranya ialah menu kegemaran masyarakat Pantai Timur dikenali sebagai kerabu sare yang terkenal terutama pada bulan Ramadan.

Iklan
Iklan

Lazimnya, sajian itu dihidangkan bersama dengan lauk-pauk lain bagi membangkitkan lagi selera ketika iftar.

Wan Muhammad Hafiz Abdul Satar yang merupakan salah seorang yang pandai memasak kerabu sare berkata, menu itu kurang popular pada hari-hari biasa.

Iklan

Apa itu kerabu sare? Apakah bahan-bahan yang digunakan untuk membikin resipi itu?

Iklan

Beritahu Wan Muhammad Hafiz, antara ramuan utama yang digunakan adalah seperti rumpai laut yang telah dikeringkan, kelapa yang digoreng tanpa minyak, ikan rebus dan sambal tumis.

Rumpai laut itu katanya adalah daripada spesies gracilaria atau lebih sinonim dengan nama alga merah yang banyak terdapat di sempadan laut Kelantan dan Thailand.

Alga merah itu juga banyak digunakan dalam perubatan dan ramuan makanan di Korea, Jepun dan China kerana dikatakan mempunyai khasiat perubatan yang sangat tinggi.

”Tekstur rumpai laut ini sangat lembut seakan-akan nampak seperti bihun. Tak perlu dimasak kerana semua bahan hanya perlu digaul sebati dengan bahan-bahan lain.

”Untuk melazatkan lagi hidangan, saya akan menggaulnya bersama sambal tumis, sambal kelapa dan sedikit air perahan limau nipis. Jika tak suka limau nipis, boleh digantikan dengan cuka atau mangga muda bagi mengimbangi rasa masam,” ujar beliau yang juga menjadi pelopor kumpulan Facebook Masak Apa Hari Ini.

Kepada yang menggemari kerabu sare versi rangup, Wan Muhammad Hafiz berkata, rumpai itu perlu dibasuh bersih sebelum direndam semalaman.

”Rumpai yang berwarna hijau gelap tadi akan bertukar kepada warna jernih. Itu bermakna, rumpai itu sudah boleh ditoskan.

Rumpai laut untuk membuat kerabu sare ini kata bapa kepada tiga cahaya mata itu, boleh dibeli secara online seperti di platform digital, Shopee pada harga sekitar RM23 hingga RM25 sekilogram.

PROFIL

  • Nama: Wan Muhammad Hafiz Abdul Satar
  • Umur: 43 tahun.
  • Asal: Tumpat, Kelantan
  • Menetap: Kota Bharu, Kelantan

RESIPI KERABU SARE

Bahan-bahan sambal tumis

  • 500 gram sare
  • 1 biji kelapa (ambil santan pekat)
  • 5 ulas bawang merah
  • 3 ulas bawang putih
  • 8 biji cili kering
  • 3 batang serai
  • 1 inci halia
  • 2 keping asam
  • Sedikit gula dan garam

Cara penyediaan:

  1. Kisar kesemua bahan (kecuali sare) dengan menggunakan pengisar.
  2. Kemudian, masukkan santan.
  3. Masak di atas api lalu dikacau sekali-sekala sehingga pecah minyak.
  4. Perasakan dengan garam dan gula.
  5. Sambal tumis siap dan boleh diketepikan seketika.

Bahan-bahan sambal kelapa

  • 1 biji kelapa parut disangai garing
  • 5 ke 6 ekor isi ikan selayang atau sardin atau kembung (dibakar)
  • 6 ulas bawang merah
  • 10 ke 15 biji lada hitam
  • 3 batang serai
  • Sedikit gula melaka dan garam

Cara penyediaan:

  1. Kelapa goreng ditumbuk bersama isi ikan, bawang, gula melaka, garam, serai dan lada hitam.
  2. Gaul kesemua bahan yang ditumbuk tadi.

Cara menghidangkan kerabu sare:

  1. Masukkan kerabu sare ke dalam pinggan.
  2. Tuang sambal tumis dan sambal kelapa.
  3. Perah sedikit limau nipis.
  4. Gaul sehingga semuanya sebati.
  5. Kerabu sare siap dihidangkan sebagai salah satu menu ketika berbuka puasa.

Sumber: Wan Muhammad Hafiz Abdul Satar

ANEKDOT

RESIPI SIPUT KEMUDI MASAK HALIA BERSOS

Bahan-bahan

  • 2 inci halia
  • 2 ulas bawang putih
  • 2 biji lada merah
  • 3 sudu sos tiram
  • 3 sudu sos cili
  • 2 sudu minyak masak
  • Sedikit gula dan garam

Cara penyediaan:

  1. Keluarkan isi siput kemudi daripada cengkerangnya. Kemudian, isinya dipotong kecil lalu dibasuh sebersih-bersihnya.
  2. Hiris halia, cincang bawang putih dan lada merah.
  3. Seterusnya, tumis bahan tadi bersama sedikit minyak sehingga naik bau.
  4. Selepas itu, masukkan siput kemudi diikuti sos tiram dan sos cili, garam dan sedikit gula sebagai perasa tambahan.
  5. Tunggu sehingga kuahnya pekat dan siput kemudi masak halia bersos siap untuk dihidangkan.

Sumber: leenazi9783.blogspot.com.