MEMANG menyeramkan! Video pendek yang dikongsikan pengguna Tiktok yang dikenali dengan nama Diana buat ramai warganet tidak lena tidur.
Masakan tidak, rakaman yang dikatakan secara spontan itu berjaya merekod entiti berbaju putih dan rambut panjang pada jam 1 pagi.
Ya! Memang meremanglah apabila menonton video tersebut yang turut ditonton lebih 254,000 pengguna (setakat artikel ini ditulis).
Memang jelas kelihatan entiti tersebut sedang mengusap badan si kucing.
Menurut cerita yang dikongsikan Diana, beliau keluar mencari dua kucing yang masih belum pulang ke rumah walaupun lewat malam.
"Selalunya malam-malam sudah ada dalam rumah, sudah lewat tidak balik-balik," tulisnya.
Meskipun ketika itu keadaan sudah gelap dan hujan renyai, Diana tetap keluar mencari di kawasan rumahnya.
Sebaik sahaja ternampak seekor kucing yang sedang berjalan pulang, beliau segera mencari seekor lagi si bulus berwarna putih.
Apa yang mengejutkan, kucingnya yang dikatakan takut dengan orang itu sedang bermain dengan 'sesuatu' di tepi jalan bersebelahan pagar rumahnya.
Kata Diana, beliau pada awalnya hairan melihat kucingnya yang boleh bermain dengan orang luar yang tidak dikenali.
Sebaik sahaja melihat dengan lebih dekat, wanita itu bagaimanapun terperanjat, terus membuka langkah seribu dan berlari pulang.
Rata-rata warganet yang menonton video tersebut meminta Diana untuk berkongsi video original tanpa filter untuk memastikan sama ada kejadian itu benar atau sebaliknya.
Dalam hantaran video kedua yang menerima lebih 938,000 tontonan itu, Diana menjelaskan bahawa rakaman tersebut tidak diedit.
"No edit dan filter hujan, rintik-rintik saja masa itu," tulisnya yang turut memberi amaran supaya jangan memintanya untuk merekod lembaga tersebut depan-depan.
Apa yang pasti, komen warganet memang macam-macam. Antaranya ada yang memberikan tip melucukan dengan menyarankan agar membawa penyapu lidi jika keluar malam.
Ada juga yang berkongsi pengalaman sama berdepan lembaga berambut panjang ketika tinggal di hostel.
Tidak kurang juga ada yang mengesahkan benda itu memang wujud.
Mungkin pada orang-orang tertentu yang pernah berdepan dengan situasi menakutkan seperti itu, boleh berkongsi pengalaman.
Apa yang penting, berbanyakkan istighfar dan berdoa kepada ALLAH.
Sepanjang bulan Ramadan ini, jangan lupa untuk kita memanfaatkan dengan amalan ibadah kerana ganjaran pahala berganda. #RamadanDalamKeberkatan