Sanggup berkayuh hantar tempahan lewat malam, kisah pemuda ini cari rezeki buat warganet sebak

Iklan
penghantar makanan kayuh basikal

SANGGUP mencari duit lebih sebagai penghantar makanan dengan hanya menunggang basikal demi kelangsungan hidup dan membantu keluarga.

Ya! Kisah kegigihan seorang pemuda yang dikenali dengan nama Mohamad itu tular di media sosial dan telah menyentuh perasaan warganet.

Iklan
Iklan

Kalau diikutkan, hanya dengan gaji RM500 sebulan memang tidak cukup untuk membayar kos sewa bilik dan makan minum, namun anak jati Kelantan itu tidak pernah merungut.

Iklan

Bahkan tanpa mengenal erti penat, pemuda berusia 22 tahun itu sanggup menjadi penghantar makanan selepas waktu bekerja.

SinarPlus difahamkan, hanya berehat dalam tempoh sejam dan mengisi perut dengan nasi lemak kerana mahu berjimat, Mohamad akan mengambil tempahan hingga jam 11 malam.

Iklan

Sebenarnya, lelaki itu mempunyai kelulusan diploma kejuruteraan dengan keputusan cemerlang di sebuah politeknik, namun mungkin belum ada rezeki kerja yang lebih baik.

Perkongsian Steven Sim Chee Keong dalam Facebook mengenai kisah pemuda tersebut ternyata menarik perhatian ramai.

Tulis wakil rakyat tersebut, seorang rider Food Panda memberi keinsafan kepadanya apabila sanggup meredah hujan dan panas walaupun sedang berpuasa.

"Tiada motosikal tidak menghalang pemuda ini meminjam basikal kawannya, dapatlah RM20 hingga RM30 sehari untuk menampung kos makan beberapa kali.

"Saya tengok kedua-dua belah tangannya pun sudah terbakar dek terik matahari," katanya.

Apa yang menyentuh hati warganet, Steven yang juga Ahli Parlimen Bukit Mertajam turut menghadiahkan sebuah motosikal buat Mohamad untuk memudahkannya bekerja.

Kata beliau, meskipun tidak pandai dalam hal agama Islam, namun ramai rakan-rakannya memberitahunya bahawa Ramadan adalah bulan keberkatan.

"Saya mohon berkat Ramadan dan ikhlas membelikan motosikal ini buat Mohamad. Beliau tidak perlu kayuh basikal atau tumpang orang ke tempat kerja.

"Jadi, Mohamad juga tidak perlu risau mahu pulang ke kampung jenguk emak dan ayah sebab sudah ada kuda," tulisnya lagi.

Kesungguhan pemuda tersebut mencari rezeki juga membuatkan Steven dapat mempelajari sesuatu yang penting.

Kata Yang Berhormat itu lagi, kesabaran yang tinggi dalam menempuh cabaran hidup. Selain itu, jangan berputus asa walaupun berdepan dugaan yang memeritkan.

"Setiap perkara ada hikmahnya, Tuhan tidak pernah mengabaikan kita. Mohamad telah menginsafkan saya tentang perkara ini.

"Iftar pertama tahun ini, saya berbuka puasa bersama Mohamad. Walaupun berjauhan daripada keluarga dan terpaksa bekerja keras mencari rezeki, saya doakan Ramadan ini akan menjadi Ramadan yang lebih bermakna buat dirinya," katanya lagi.

Tanpa mengira perbezaan agama dan bangsa, bantuan dihulurkan membuatkan ramai tabik hormat kepada wakil rakyat tersebut.

SinarPlus juga mendoakan Mohamad terus dimurahkan rezeki dan dipermudahkan urusan.

Bagi mereka yang masih mencari kerja, contohilah kesungguhan pemuda tersebut yang sanggup berkayuh sehingga lewat malam demi mencari sesuap nasi.