BARU-BARU ini, tular sebuah video melibatkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang dikatakan menaiki pesawat mewah berlepas ke Madinah.
Berikutan itu juga, beliau turut dituduh menyalahgunakan wang rakyat bagi menyempurnakan lawatan kerjanya ke Arab Saudi itu.
Menerusi entri di Twitter miliknya, Dr Zulkifli berkata lawatan kerjanya ke negara tersebut yang bermula Jumaat lalu, ditaja sepenuhnya Liga Muslim Sedunia (MWL).
Menurutnya, beliau menaiki penerbangan Saudia Airlines dari Kuala Lumpur ke Riyadh, sama seperti penumpang lain.
Kata Dr Zulkifli, semua program dan mesyuarat penting berkaitan haji, umrah dan hal ehwal Islam sepanjang lawatannya di Arab Saudi diaturkan dan ditaja sepenuhnya oleh MWL.
Baca juga Sanggup berkayuh hantar tempahan lewat malam, kisah pemuda ini cari rezeki buat warganet sebak
Menurut Dr Zulkifli lagi, beliau sangat menghargai tindakan beberapa pihak yang meminta kepastian daripadanya dahulu sebelum membuat tuduhan dan memaafkan pihak yang membuat andaian berbaur fitnah terhadapnya.
Semoga Ramadan kali ini memberi seribu rahmat buat kita semua dan jangan lupa untuk terus kekal mengamalkan SOP yang ditetapkan bagi memutuskan rantaian Covid-19 yang sedang melanda negara kita.