Nasi dagang popular di negeri Pantai Timur seperti Terengganu. Nasinya menggunakan beras wangi dicampur beras pulut dan santan pekat. Apabila dimakan dengan gulai ikan tongkol, memang gabungan yang sempurna!
Nasi dagang biasanya disajikan bersama dengan gulai ikan tongkol. telur rebus dan acar timun. Perkongsian daripada Haadii Nadia ini boleh dijadikan panduan. Katanya, dia sudah beberapa kali mencuba dan akhirnya menjadi.
"Percubaan membuat Nasi Dagang Terengganu yang entah kali ke berapa kali. Kali ini nasi elok cantik, cuma gulai sedikit cair. Apa yang penting suami cakap sedap,” kongsinya.
Nadia menyenaraikan bahan yang digunakan berserta sukatan untuk menyediakan Nasi Dagang Terengganu.
NASI
Bahan-bahannya
2 pot beras basmati (saya guna beras basmati Pusaking Cap Rambutan)
2 sudu besar beras pulut (kalau korang suka pulut boleh tambah sukatan)
2 sudu besar halba
1/2 kotak kecil santan
Halia, mayang halus
Bawang merah, mayang halus
Garam dan gula secukupnya
Cara penyediaannya
- Rendam beras basmati dan beras pulut satu hingga dua jam. Kemudian kukus hingga separuh masak.
- Apabila campuran kedua-dua jenis beras yang dikukus tadi separuh masak, dimasukkan ia ke dalam bekas atau besen yang besar. Kemudian ketepikan.
- Sementara itu, santan, halia, bawang, halba, gula ,garam dimasukkan ke dalam sebiji mangkuk. Kacau hingga gula dan garam hancur dan semua bahan sebati.
- Masukkan ke dalam bekas berisi beras yang dikukus tadi kemudian gaul sampai rata. Kaup balikkan perlahan-lahan untuk mengelakkan nasi patah.
- Selepas dikacau rata, kukus sekali lagi sehingga masak. Kemudian letak di dalam bekas beralas daun pisang. Tekan-tekan hingga mampat. Tutup dengan daun pisang dan sedia untuk dihidang.
Artikel berkaitan: Sambal Tumbuk Berapi Penyedap Hidangan Nasi Berlauk
GULAI IKAN TONGKOL
Bahan-bahan
Bahan A
Ikan tongkol secukupnya, asam keping dan air
Bahan B
11 ulas bawang merah
1 labu bawang putih
1 inci halia
Segengam cili kering (rebus)
Bahan C
1 paket kecil rempah kari ikan Adabi
1 paket kecil rempah gulai Cap Bunga Rose
2 kotak kecil santan
1/2 gula nisang (gula daripada nira kelapa)
Garam secukup rasa
Air
Asam keping
Cili api merah dan hijau
Minyak masak secukupnya
Cara penyediaannya
- Ikan tongkol direbus. Air dibiarkan hingga menenggelami ikan bersama asam keping dan garam. Rebus sampai air sedikit kering menggunakan api perlahan.
- Bahan A dikisar terlebih dahulu.
- Letakkan minyak agak banyak untuk menumis.
- Apabila minyak panas baru masukkan bahan kisar, rempah kari ikan Adabi, rempah gulai cap Rose bersama sedikit air dan gula nisang.
- Tumiskan rempah sampai pecah minyak dan kering. Ulang langkah ini sebanyak tiga kali. Bila tumisan kering tambah air. Ulanginya sebanyak tiga kali hingga rempah kering dan pecah minyak. Pastikan anda menggunakan api sederhana. Setelah siap, ketepikan.
- Kemudian dalam periuk, masukkan santan kotak dan sedikit air. Sukat air menggunakan kotak santan yang digunakan. Selepas itu, masukkan bahan yang di tumis tadi ke dalam periuk berisi santan.
- Nyalakan api dan kacau hingga sebati. Masukkan garam, asam keping, ikan yang di rebus, cili padi hijau dan merah.
- Masak gulai hingga kuah pekat dengan api perlahan.
Artikel berkaitan: Padu! Rugi Tak Cuba Resipi Nasi Goreng Sardin Ringkas Ini
ACAR TIMUN
Bahan-bahan acar timun
Timun
Lobak merah pun sama dipotong mendatar dan hiris halus
2 biji bawang merah
1 biji lada besar buang biji hiris halus
3 sudu besar gula
1 sudu kecil garam
3 sudu besar cuka
- Timun dipotong mendatar. Kemudian belah empat dan buang bijinya. Hiris halus. Saya suka nipis. Kalau kasar kurang cantik di mata saya
- Lobak merah pun sama dipotong mendatar dan hiris nipis.
- Bawang merah dan lada besar (buang biji) dihiris halus
- Gaulkan semua bahan hingga sebati.
TIP MEREBUS TELUR
- Untuk mendapatkan telur rebus bahagian kuningnya keras, cantik dan berona jingga, didihkan air sekadar tenggelam telur. Pastikan telur pada suhu bilik.
- Selepas air mendidih, masukkan telur perlahan-lahan ke dalam periuk agar ia tidak retak. Tetapkan masa enam minit.
- Selepas enam minit tutup api. Biarkan lagi dalam periuk selama tiga minit. Lepas tu cepat-cepat angkat dan alirkan di bawah air paip. Kupas telur ketika ia masih panas di bawah air mengalir.
Sumber: Haadii Nadia