Keprihatinan majikan memberikan impak positif kepada pekerja. Khabar gembira buat penjawat awam yang banyak berkorban untuk negara.
Kira-kira dua juta penjawat awam bakal menerima bantuan khas kewangan Aidilfitri berjumlah RM500. Ia merangkumi semua penjawat awam Gred 56 dan ke bawah.
Perdana Menteri dalam kenyataan rasminya turut menyatakan pemberian bantuan khas itu termasuk kakitangan Contract Of Service, Contract For Service, Pegawai Sambilan Harian serta lantikan di bawah MySTEP. Manakala golongan pesara kerajaan pula bakal menerima bantuan berjumlah RM250.
"Pemberian ini adalah bagi menghargai jasa dan pengorbanan penjawat awam dalam menggalas tanggungjawab menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat terutamanya semasa negara mengharungi tempoh yang penuh cabaran ini,” kata Muhyiddin dalam kenyataan rasminya.
Pembayaran 6 Mei
Menurutnya lagi, pembayaran bagi bantuan khas ini akan dibuat bersama dengan pembayaran gaji bulan Mei iaitu pada 6 Mei ini.
Muhyiddin memaklumkan pengumuman pemberian Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri pada tahun ini dibuat lebih awal berbanding tahun-tahun sebelum ini kerana keprihatinan kerajaan dalam membantu mereka membuat persiapan awal menjelang Hari Raya Aidilfitri.
Katanya, kerajaan berharap dengan pemberian Bantuan Khas ini dapat meringankan beban kewangan kepada penjawat awam dan pesara serta dijadikan sebagai pemangkin kepada mereka untuk terus berkhidmat dengan penuh dedikasi.
Sumber: Muhyiddin Yassin