SELEPAS hampir seminggu insiden memuat naik gambar dan video anak kedua Datuk Seri Siti Nurhaliza tular dan hangat diperkatakan, pasangan suami isteri, Asyraf Khalid serta Tya Arifin tampil membuat penjelasan.
Menurut Asyraf yang juga merupakan anak tiri Siti Nurhaliza, dia dan isteri sudahpun memohon maaf kepada penyanyi itu.
"Kami sudah berhubung dengan Mak Iti (Siti Nurhaliza) memohon maaf melalui aplikasi WhatsApp dan panggilan telefon.
"Cuma Mak Iti berpesan jadikan perkara terjadi sebagai iktibar pada masa akan datang.
"Insya-ALLAH kami akan melawat Mak Iti berpantang di rumahnya hujung minggu ini,” kata Asyraf.
Tambah Asyraf, apa yang dilakukan itu hanyalah untuk berkongsi keterujaannya sebagai abang saat menyambut kehadiran kehadiran adik baharunya.
Bagaimanapun, dia tidak menyangka perkara menjadi sebaliknya apabila perkongsian itu menjadi tular dan mengundang salah faham ramai.
"Saya cuma tak sangka perkongsian itu jadi begini. Apa yang dilakukan hanya berdasarkan keterujaan yang dirasai.
"Selepas benda ini tular, memang rasa tak seronok dengan Mak Iti. Tak pasal-pasal timbul pelbagai cerita yang tidak sedap didengar.
"Apa terjadi memang bukan salah Mak Iti atau sesiapa. Salah itu datangnya daripada kami. Minta maaf juga kepada sesiapa yang terguris hati termasuk Mak Iti sendiri," katanya.
Bapa kepada dua cahaya mata mengakui sudah memadam video dan gambar dimaksudkan di Instagram dan YouTube, selain turut menepis dakwaan kononnya sengaja mencari kandungan digital membabitkan ibu tirinya itu untuk menumpang populariti.
"Tak timbul juga isu kami cuba menumpang populariti mencari kandungan digital membabitkan Mak Iti.
"Isteri saya sendiri sudah terbiasa membuat Vlog saban hari," katanya.
Sementara itu, Tya pula berkata, dia merasa bersalah kepada Siti meskipun sudah memohon apa atas apa yang berlaku.
"Jujur rasa bersalah dengan apa yang terjadi. Walaupun sudah minta maaf kepada Mak Iti, ayah (Datuk Seri Khalid Mohamed Jiwa) dan mereka di luar sana, saya masih rasa tak seronok.
"Sempena bulan Ramadan ini, saya dan suami tak mahu memanjangkan lagi perkara ini. Buang yang keruh, ambil yang jernih.
"Sebaiknya biarlah Mak Iti berpantang dan membesarkan anak keduanya dengan tenang.
"Sebagai ibu, momen inilah yang ditunggu Mak Iti untuk melihat anaknya membesar,” katanya.
Terdahulu perkongsian foto dan video cahaya mata kedua Siti Nurhaliza tular menerusi perkongsian yang dibuat Asyraf dan isteri.
Ia termasuk video memaparkan suasana Siti menerima kunjungan ramai tetamu di sebuah pusat perubatan di Selangor selepas bersalin pada 19 April sehingga didakwa melanggar prosedur operasi standard (SOP).