MENAMATKAN teka-teki ramai, pelakon Ayda Jebat akhirnya mengesahkan dirinya kini sedang hamil cahaya mata sulungnya bersama suami, Nabil Mahir.
Menurut pemilik nama sebenar Nor Suhada Jebat, 29, kandungannya kini sudah memasuki usia empat bulan dan dijangka bersalin pada Oktober depan.
Ayda turut mendedahkan hampir mengalami keguguran sebelum ini kerana tekanan kerja, selain merasa terganggu apabila berita kehamilannya itu terlebih dahulu dikongsikan pihak luar tanpa kebenaran dia dan suami.
"Saya akui agak tertekan hingga terlalu banyak berfikir kerana kecewa apabila berita kehamilan yang didedahkan itu bukan daripada saya dan suami.
"Saya mengalami pendarahan hingga dimasukkan ke hospital. Apapun, semua kembali terkawal selepas itu,” jelasnya pada majlis berbuka puasa istimewa anjurannya bersama suami di sebuah hotel terkemuka ibu kota, pada Rabu.
Dalam pada itu, pelakon drama Bukan Gadis Biasa itu menjelaskan, keputusannya untuk mengumumkan berita kehamilan dirinya pada ketika ini juga disebabkan terikat dengan komitmen kerja.
"Saya ambil masa untuk umumkan perkara ini dengan jenama yang sudah saya terikat.
"Pada masa sama, saya perlu mengatur komitmen dan sesi fotografi dengan jenama berkenaan.
"Saya juga percaya usia kandungan sekarang adalah tempoh terbaik untuk berkongsi berita ini,” ujarnya.
Ditanya tentang jantina anak yang bakal dilahirkan, Ayda memberitahu belum bersedia untuk berkongsi, sebaliknya memohon orang ramai mendoakan kesejahteraan dirinya dan kandungan.
"Saya mengalami alahan bau termasuk bau dapur rumah dan penyembur sanitasi milik suami.
"Apa pun, semoga segalanya dipermudahkan. Mohon semua mendoakan yang baik-baik.
"Terima kasih buat semua yang memahami.” akhirinya.
Ayda dan Nabil mendirikan rumah tangga pada 1 Januari lalu dalam majlis sederhana yang diadakan di ibu kota.