Mengimbau raya zaman kanak-kanak, ramai di antara kita yang terimbas kenangan bermain bunga api. Meriahnya malam raya dengan percikan bunga api kala bermain bersama adik beradik dan saudara mara.
Momen sambutan hari raya tahun ini pasti akan lebih meriah apabila Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengumumkan kelulusan membenarkan bagi peniaga untuk menjual bunga api selama 30 hari (15 hari sebelum dan 15 hari selepas tempoh musim perayaan).
Timbalan Pengarah Pengurusan (Pentadbiran) Bukit Aman Datuk Mat Kasim Karim berkata penjualan itu perlu mematuhi peraturan yang telah ditetapkan oleh PDRM. Antara syarat yang perlu dipatuhi peniaga ialah;
- Warganegara Malaysia
- Lesen berniaga mengandungi senarai bunga api jenis"Happy Boom” dan"Pop-Pop” perlu dipamer untuk diperiksa pihak berkuasa.
- Tempoh jualan 15 hari sebelum dan 15 hari selepas tempoh musim perayaan (tertakluk kepada kelulusan budi bicara Pesuruhjaya Polis / Ketua Polis Negeri).
- Penjulan di Kawasan pasar raya (wholeseller / hypermarket) adalah dibenarkan dengan syarat mempunyai kawasan penyimpanan diperakui Bahagian Persenjataan PDRM dan mempunyai lesen perniagaan serta permit PDRM.
Artikel berkaitan: Sesak Membeli-Belah Bagaikan Tiada Hari Esok, Warganet Suarakan Kebimbangan Muncul Kluster Bazar Aidilfitri
Perniagaan bunga api dan mercun di 7-Eleven, 99 Speedmart, Mr DIY dan lain-lain kedai seumpamanya hanya dibenarkan menjual satu jenis bunga api sahaja iaitu Pop-pop dan mempunyai permit PDRM.
Para peniaga tidak dibenarkan untuk menjual bunga api kepada pembeli yang berumur kurang daripada 18 tahun. Urusan perniagan bunga api secara dalam talian atau di media sosial juga tidak dibenarkan.Restoran dan kedai makan tidak dibenarkan untuk menjual bunga api.
Sebelum ini penggunaan dan penjualan bunga api mendapat tentangan hebat daripada sesetengah badan bukan kerajaan. Malah ketika menjelang musim perayaan hari Raya Aidilfitri 2019, polis melarang mana-mana individu memiliki, menyimpan, menggunakan atau berniaga mercun dan bunga api. Hanya mercun dan bunga api yang dibenarkan sahaja iaitu dari jenis ‘Pop-Pop’ dan ‘Happy Boom’ sama seperti spesifikasi yang telah ditetapkan.
Walau pun bunga api dibenarkan dijual, pengawasan ibu bapa juga amat penting. Ini adalah mengelakkan anak-anak membuat mercun sendiri menggunakan bunga api yang dibenarkan atau bahan mudah terbakar lain.
Sumber: Polis Diraja Malaysia