Tiada siapa menduga hari Rabu lalu adalah hari terakhir buat dua anak kecil ini. Mereka membonceng motosikal ditunggang ibu mereka, Liswati, 37, selepas pulang dari sekolah kira-kira pada pukul 11.15 pagi.
Kejadian yang berlaku pada 28 April lalu berlaku setelah Dhenis Maulida Puteri Masari, 7, serta adiknya Puteri Ramadhania Azzahra, 3 dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumah di sebuah ladang kelapa sawit di kawasan itu selepas mengambil Dhenis Maulida Puteri yang selesai sesi prasekolah di Sekolah Kebangsaan Keratong 1.
Menurut portal berita tempatan, operasi mencari dan menyelamat dijalankan dengan bantuan daripada penduduk kampung menemui mayat Allahyarham Dhenis Maulida Puteri Masari, 7, terapung kira-kira 100 meter dari lokasi kejadian pada jam 8 malam tadi.
Manakala jenazah si adik, Allahyarham Puteri Ramadhania Azzahra, 3, pula ditemui terapung pada jam 7.30 pagi ini oleh penduduk kampung, kira-kira 50 meter dari lokasi mayat kakaknya dijumpai. Menurut Pemangku Ketua Polis Daerah Rompin, Asisten Superintendan Mohd Isa Bidin, jenazah dua beradik itu kemudian dibawa ke Hospital Muadzam Shah, Rompin, untuk bedah siasat.
5 kejadian lemas yang meragut nyawa kanak-kanak
Bersama ini SinarPlus berkongsi lima kes lemas yang berlaku di negara ini. Takziah buat keluarga semua kanak-kanak yang telah kembali ke rahmatullah.
Budak tiga tahun lemas jatuh tali air
Muhammad Huffaz Wafri Mohd.Zulfika, 3, ditemui dalam keadaan terapung di dalam tali air itu kira-kira 10 meter dari rumahnya pada pukul 4.30 petang dipercayai terjatuh ke dalam tali air di Kampung Jambu Merah, Melor pada 26 April lalu.
Mangsa hanya disedari lemas oleh seorang penduduk kampung selepas melihat kanak-kanak itu terapung di permukaan air. Allahyarham dikatakan kali terakhir mangsa dilihat sedang bermain di dalam rumahnya oleh neneknya. Bagaimanapun, ahli keluarganya tidak menyedari kehilangan kanak-kanak itu sehingga seorang jiran memaklumkan bahawa mangsa sudah lemas di tali air.
Kanak-kanak 10 tahun lemas jatuh sawah
Seorang kanak-kanak, Allahyarham Mohamad Amir Faris Rohaizad lemas selepas terjatuh ke dalam kawasan sawah takungan air untuk ikan ketika berbasikal dengan rakan dan adiknya pada 17 April lalu.
Kejadian yang berlaku di Kampung Hutan Kandis itu terjadi selepas basikal yang dinaikinya tiba-tiba hilang kawalan dan Allahyarham tergelincir ke dalam takungan berkenaan. Kes ini diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.
[caption id="attachment_44704" width="1024"] Gambar hiasan.[/caption]
Jatuh sungai ketika hujan lebat
Kanak-kanak berusia lima tahun, Allahyarham Muhamad Amsyar Mohd Zamri ditemui lemas selepas dikatakan terjatuh ke dalam Sungai Jerong, Kampung Bikam, Sungkai, Perak kira-kira 15 meter daripada tempat dia dilaporkan terjatuh pada 3 Januari lalu.
Siasatan awal di tempat kejadian mendapati cuaca hujan lebat. Allahyarham bersama dua orang adik-beradiknya dan seorang sepupu berumur antara lima hingga 11 tahun telah bermain air di Sungai Jerong mulai jam 10.45 pagi. Apabila mangsa terjatuh ke dalam sungai, adik-beradik dan sepupunya berlari memberitahu ibu mereka yang berada di rumah yang jaraknya kira-kira 200 meter dari tempat kejadian.
Hanyut dibawa arus deras
Kanak-kanak berusia 12 tahun berkelah dan mandi-manda sempena hujung minggu lemas selepas hanyut dibawa arus ketika mandi di Jambatan Sungai Mas, Sungai Lembing, Perak.
Allahyarham Nur Syakirah Shahriza dikatakan datang bersama keluarga dan enam lagi adik-beradik termasuk saudara kembarnya tiba di lokasi kira-kira pukul 9.30 pagi sebelum Allahyarham bersama dua adiknya turun mandi berhampiran tapak perkelahan 45 minit kemudian.
Bapanya yang berada di lokasi kejadian sempat menyelamatkan dua orang anaknya manakala Allahyarham tidak sempat diselamatkan dan telah dihanyutkan arus dan ditemui orang awam lebih kurang 10 minit kemudian. Mangsa disahkan meninggal dunia selepas bapanya sebelum dihantar ke Klinik Kesihatan Sungai Lembing.
[caption id="attachment_44705" width="1024"] Gambar hiasan.[/caption]
Bayi lemas di dalam besen
Bayi perempuan berusia 17 bulan meninggal dunia awal pagi ini dipercayai akibat lemas dalam besen ketika mandi di bilik air rumah pengasuhnya di Permatang Damar Laut, Batu Maung , Pulau Pinang.
Insiden berlaku selepas pengasuh berusia 43 tahun itu mengisi air dalam besen sehingga hampir penuh untuk memandikannya.
Pengasuhnya itu pergi mengambil tuala iaitu lebih kurang 10 langkah dari bilik air sebelum kembali semula dan mendapati hampir separuh badan bayi itu telah tenggelam di dalam air, manakala kakinya berada di luar besen,
Bagaimana pun bayi tersebut keadaan sedar semasa dialihkan dari besen itu, dan pengasuhnya kemudian memakaikan lampin pakai buang sebelum menidurkannya. Setengah jam kemudian, bayi berkenaan didapati dalam keadaan lemah serta tidak bermaya, dan pengasuhnya terus menghubungi ambulans menerusi talian kecemasan.
Kajian yang dijalankan oleh C.S.Mott Children’s Hospital National mendapati punca utama kematian kanak-kanak ialah lemas. Sebanyak 16% ibu bapa membenarkan anak bebas di tasik, 13 % bermain di pantai dan laut dan lebih 37% membenarkan anak bermain di rumah, hotel dan kolam tanpa pengawasan orang dewasa.