MELIHAT keletah si comel berusia antara 10 hingga 12 bulan yang kadangkala jatuh dan bangun tatkala bertatih cukup mencuit hati. Apatah lagi mendengar mereka tertawa kecil sambil mempamerkan gusi.
Celoteh sedemikian hilang segala penat lelah. Pun begitu, kebahagiaan yang dikecapi oleh sebuah keluarga direntap apabila bayi perempuan mereka berusia 11 bulan maut selepas terjatuh dari tingkat tiga kediaman di Blok D, PPR Sri Aman, Jalan Aman Putra, Kuala Lumpur petang semalam.
Keletah dan hilai tawa si kecil kesayangan pergi buat selama-lamanya apabila terjatuh dari tingkap yang tidak dipasang jeriji.
Hasil siasatan mendapati mangsa dikatakan sedang bermain bersama abang, kakak dan sepupunya di atas katil bahagian atas bersebelahan dengan tingkap di dalam bilik pertama rumah sebelum terjatuh dari tingkap terbabit.
Mangsa segera dibawa ke Hospital Selayang untuk mendapatkan rawatan dan tiba di Unit Kecemasan bayi perempuan itu disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan.
Bayi perempuan mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala akibat jatuh dari tempat tinggi. Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Sukar untuk membayangkan betapa luluhnya perasaan ibu dan bapa melihat anak kecil mereka tiada lagi. Tambahan pula, sedang membilang hari untuk meraikan lebaran.
Justeru, bagi mengelakkan perkara seumpama itu berulang khususnya mereka yang tinggi di kediaman tinggi, SinarPlus berkongsi tip keselamatan bagi mengelakkan kemalangan bayi dan kanak-kanak di rumah.
10 tip keselamatan bayi di rumah
Umumnya ketika bayi dan kanak-kanak berada di rumah, ibu bapa atau penjaga bertanggungjawab terhadap keselamatan mereka dari segala segi.
Merujuk perkataan keselamatan, ia sinonim dengan usaha mencegah kemalangan atau musibah. Jika dikaitkan tragedi malang itu, ternyata kanak-kanak terbabit belum mengerti bahaya. Sekalipun, tidak sengaja dan perlu diterima sebagai takdir, maka tidak wajar dijadikan alasan untuk kita membiarkan kejadian terus berulang.
Antara perkara yang perlu dielakkan ialah:
1. Soket elektrik
Tutup soket elektrik untuk mengelakkan bayi memasukkan jari ke dalam soket berkenaan. Pastikan penutupnya ketat dan tidak mudah dibuka.
2. Tali bidai atau langsir tingkap
Elak untaian tali yang boleh menyebabkan si kecil tercekik atau cedera. Seboleh-bolehnya ikat tinggi sehingga tidak mampu dicapai.
3. Perkakas kediaman bersuhu panas
Ruang dapur amat berbahaya. Periuk dan cerek panas misalnya perlu letakkan di bahagian tinggi dan tidak boleh dicapai bagi mengelakkan si kecil melecur.
4. Bilik air
Sentiasa pastikan pintu bilik air ditutup. Sekelip mata kecuaian boleh membawa padah kerana baldi berisi air atau mangkuk tandas boleh menyebabkan bayi lemas.
5. Bucu perabot
Perabot yang mempunyai bucu tajam elok diletakkan penghadang bagi mengelakkan kecederaan sekiranya bayi terhantuk. Tak cantik, tak mengapa asalkan anak selamat.
7. Objek tajam
Pisau, gunting, pen dan lidi pencucuk antara objek tajam yang perlu dijauhi daripada anak kecil.
8. Kaca atau barangan mudah pecah
Barangan kaca atau seramik adalah item hiasan mudah pecah. Elak meletak pada tempat mudah dicapai bayi. Berikan si kecil cawan dan pinggan plastik sahaja.
10. Laci
Pastikan laci dan almari diletakkan bersebelahan panel dinding ‘melekat’ pada dinding. Ini bagi mengelakkan ia bergerak, lalu terjatuh ke atas si manja.