BARU-BARU ini, pelajar sekolah menengah dikenali sebagai Ain membuat pendedahan mengenai jenaka rogol oleh seorang guru lelaki di sekolahnya.
Ternyata perkara itu mengejutkan warga maya khususnya golongan ibu bapa yang menzahirkan kebimbangan sekiranya anak perempuan mereka berdepan situasi serupa.
Meskipun tindakan Ain atau nama sebenarnya Ain Husniza disifatkan murni, namun terdapat segelintir individu mengecam dan kurang senang dengan tindakannya.
Situasi bertambah hangat apabila kelmarin, bapa beliau, Saiful Nizam berkongsi tangkap layar
komen netizen yang menghina anaknya menerusi laman sosial Facebook.
Komen terbabit dikatakan merujuk pada satu poster dimuat naik oleh Saiful Nizam yang mempromosikan program Facebook Live bertajuk"Speak Up” anjuran Pusat Pembelajaran Khadijah.
Dalam poster berkenaan memaparkan foto Ain Husniza menyarungkan selendang bersama ibunya, Niza Sharifudin.
Gara-gara memuat naik poster program, seorang pengguna Facebook menggunakan nama akaun Aimanaizad Sarimahmohammednor menulis komen:"Hipokritnya anak setan pakai tudung. Ajarlah anak kurang ajar."
Pun begitu, bagi meredakan situasi beberapa pengguna Facebook menyatakan komen sedemikian ditulis oleh anak lelaki Sarimah yang menghidap autisme.
Menurut warga maya menggunakan akaun Chyinta Arissa Adrina, adalah mustahil komen itu ditulis Sarimah. Ini disebabkan pengetua berkenaan dikatakan telah memanggil guru-guru di sekolah supaya menjaga perilaku selepas isu dibangkitkan oleh Ain Husniza.
Malah, seorang lagi pengguna bernama Farah Wahidah pula menulis, komen itu mungkin dibuat oleh anak lelaki pengetua, Aiman berumur 25 tahun yang autistik tanpa pengetahuan ibunya.
Bagaimanapun, kedua-dua komen berkenaan telah dipadamkan termasuk akaun Aimanaizad
Sarimahmohammednor dinyah aktif setelah menerima kecaman teruk warganet.
Dalam perkembangan berkaitan, isu itu turut mendapat Adun dan Ahli Parlimen di Selangor.
Artikel berkaitan: Guru lawak rogol undang amarah ramai! Mohon ambil tindakan segera
Portal tempatan melaporkan, wakil rakyat menggesa Kementerian Pendidikan (KPM) mengambil
tindakan tegas tatatertib terhadap pengetua terbabit sekiranya didapati menulis komen
negatif tersebut.
Sementara itu, Ratu Terjun Negara, Pandelela Rinong turut berkongsi kata-kata positif buat Ain Husniza.
Selain itu, pelajar terbabit turut mendedahkan telah mendapat surat amaran kerana tidak hadir ke sekolah dan boleh dibuang sekiranya gagal memberi sebab.
Semoga kes ini dapat diselesaikan dengan segera dan tidak berlaku lagi pada masa hadapan.