SETELAH dua hari dilaporkan terjatuh ke dalam longkang berhampiran rumahnya di Flat Cempaka di Seremban 2, Negeri Sembilan, akhirnya mayat budak lelaki ditemui terapung dipercayai lemas hari ini.
Mangsa Mohammad Syafiq Mustaqim Mohammad Fadly berusia lapan tahun dijumpai di dalam kolam takungan air Taman Arowana kira-kira 1.2 kilometer (km) dari lokasinya terjatuh.
Menurut laporan akhbar tempatan berikut kronologi kejadian yang menimpa kanak-kanak terbabit:
8 Mei 2021 (Sabtu)
Menurut ibu mangsa, Nor Ain Ismail, 27, anaknya tidak pernah bermain di kawasan itu kerana dan hanya bermain sekitar rumah.
Ketika kejadian, Nor Ain sedang bekerja di sebuah rumah kebajikan di Rasah, Negeri Sembilan.
Bicaranya, selepas mendapat panggilan daripada anak sulung beliau bergegas ke tempat
kejadian yang menimpa anak ketiga daripada empat beradik itu.
Dalam reda dengan kejadian menimpa beliau berharap agai Mohammad Syafiq Mustaqim ditemukan dengan segera.
Dimaklumkan, Mohammad Syafiq Mustaqim bermain dengan abangnya berusia sembilan tahun dan seorang rakan, 12, sebelum tergelincir ke dalam longkang.
Pada pukul 4.20 petang, 10 anggota polis dikerahkan ke lokasi kejadian sejurus menerima
panggilan kecemasan.
Operasi SAR dijalankan dari lokasi mangsa terjatuh hingga ke Kolam Tadahan Air Taman Arowana Impian.
Mengikut penilaian bomba, laluan air akan terus ke Mambau dan tumpuan operasi pencarian dilakukan atas permukaan dan dibantu anggota skuba.
Operasi SAR diteruskan keesokan harinya.
9 Mei 2021 (Ahad)
Meskipun masih tidak menemui sebarang petunjuk, namun kasihnya seorang ibu, Nor Ain tetap setia menunggu di lokasi pencarian.
Wanita itu tidak mampu untuk pulang ke rumah selagi anak lelakinya belum dijumpai.
Nor Ain juga hanya bermalam di dalam kereta ditemani ahli keluarga lain.
10 Mei 2021 (Isnin)
Mayat Mohammad Syafiq Mustaqim dijumpai pada pukul 7.30 pagi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Zon Seremban, Khir Amir Ahmad berkata, mayat Mohammad Syafiq ditemui terapung di dalam kolam takungan air Taman Arowana iaitu kira-kira 1.2 kilometer dari lokasinya terjatuh.
Ketika ingin memulakan operasi pagi tadi empat anggota ternampak mayat mangsa terapung.
Katanya lagi, Mohammad Syafiq Mustaqim ditemui dalam keadaan tertiarap dan berseluar pendek.
Beliau turut memaklumlam, kedalaman paras air kolam takungan ketika itu kira-kira satu meter.
Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) untuk tindakan lanjut.
Semoga keluarga adik Mohammad Syafiq Mustaqim kuat dan tabah menempuhi ujian ini, tambahan pula berbaki beberapa hari sahaja menjelang Hari Raya Aidilfitri.
Al-Fatihah.