Dari Seoul ke Kuala Lumpur : Ryzal teruja berpuasa dan berhari raya bersama Maryam di negara sendiri

Iklan
Untitled design (98)

SEJAK mendirikan rumah tangga pada 15 Ogos 2019, kehidupan anak kelahiran Kota Bharu, Kelantan dan pasangannya yang berasal dari Gyeonggi-do, Korea Selatan ini mula menjadi perhatian ramai.

Selepas tiga tahun berada di Seoul bagi menyelesaikan pengajiannya dalam jurusan Kewartawanan di Universiti Korea, Nik Muhammad Rizal Nik Ibrahim atau mesra disapa sebagai Ryzal, 29, memilih untuk membawa pulang isterinya, Maryam You Narae, 29, ke Kuala Lumpur.

Iklan
Iklan

Lebih manis, 2021 menyaksikan tahun pertama mereka meraikan Ramadan dan Lebaran di negara kelahiran Ryzal.

"Kami sudah pulang ke Malaysia pada September tahun lalu, dan secara tidak langsung ini merupakan tahun pertama kami menyambut Ramadan dan Lebaran di sini sebagai pasangan suami isteri.

Iklan

"Suasana Ramadan dan Lebaran di Korea tentu sekali berbeza dengan di sini. Di sana susah cari makanan halal, kalau teringin makan rendang, kami kena masak sendiri.

"Maryam juga seronok melihat suasana masyarakat kita bila berpuasa, termasuk pelbagai jenis juadah dijual di bazar Ramadan. Cuma dia elak untuk pergi ke bazar sebab nanti jadi rambang mata.

Iklan

"Selalunya kami akan beli ayam bakar madu dari bazar Ramadan untuk juadah berbuka.

"Walaupun seronok sebab dapat berpuasa di negara sendiri, tapi mood berpuasa berdua tak ada sangat sebab Maryam tak dapat puasa kerana dia hamil dan perlu makan ubat pada waktu pagi,” kata Ryzal pada sesi sidang media secara virtual bagi mempromosikan program Apa Nak Masak Ni?Ditanya mengenai persiapan menyambut Lebaran, Ryzal berkata, disebabkan Malaysia kini sedang melaksanakan kawalan pergerakan dan tidak dibenarkan untuk merentas negeri serta daerah, maka mereka akan menyambut Lebaran secara sederhana di Kuala Lumpur.

"Ikutkan rasa hati memang saya teringin untuk pulang menyambut Lebaran di Kelantan, memandangkan sudah tiga tahun tidak dapat berhari raya bersama keluarga.

"Bagaimanapun disebabkan kita tak boleh merentas negeri dan daerah, saya akur menyambut Lebaran bersama saudara terdekat dan rakan taulan di Kuala Lumpur sahaja.

"Persiapan pun kami buat biasa saja. Kalau ikutkan kami dah berhari raya terlebih dahulu sebab baju raya tahun ini sudah dipakai terlebih dahulu.

"Secara tidak langsung suasana raya tahun ini sama seperti suasana di Korea sebab kami tidak dapat menziarahi keluarga, cuma dapat berhubung menerusi panggilan video sahaja pada pagi raya nanti,” katanya yang menggemari hidangan satay.

Program masakan sendiri

Dalam pada itu, mengulas mengenai program Apa Nak Masak Ni?, yang disiarkan setiap Ahad sejak 18 April lalu di TV3, Maryam berkata, program empat episod yang berakhir semalam (Ahad) menyaksikan dia bergandingan bersama selebriti Zulin Aziz dan chef Datuk Fazley Yaakob.

Katanya, program tersebut menggabung masakan Korea dan Malaysia untuk menu berbuka puasa seperti sup tulang daging seaweed, teokgalbi kurma dan banana strawberry milkshake.

[caption id="attachment_45845" width="1024"] Maryam bergandingan bersama Datuk Fazley dalam program Nak Masak Apa Ni? yang disiarkan di TV3 baru-baru ini.[/caption]

"Program ini mengekalkan konsep video masakan yang sering kami muat naik menerusi saluran YouTube, DurianKimchi TV.

"Kami tak ada rujuk mana-mana program masakan lain sebab kami mahu mengekalkan keaslian program kami.

"Sejujurnya tak susah untuk bercakap Melayu, saya akan cakap apa yang terlintas di kepala. Tetapi saya rasa lebih sukar untuk memasak. Masakan Korea tidak ada masalah sangat, tetapi masakan Malaysia memang agak mencabar,” ujarnya.

Ditanya adakah dia merancang untuk tampil dengan program masakan menu Korea, Maryam berkata, dia ada memikirkan perkara itu, namun tidak akan merealisasikan dalam masa terdekat.

"Memang ramai yang mahu saya memasak menu Korea tetapi menggunakan bahan halal. Disebabkan saya alami alahan mengandung sekarang, jadi saya tidak akan lakukan perancangan itu buat masa ini.

"Tunggulah bila tiba masa sesuai, mungkin selepas saya bersalin nanti,” katanya.

Bersalin di Kuala Lumpur

Sementara itu, ditanya mengenai kehamilannya, Maryam berkata, kandungannya itu sudah memasuki bulan keempat.

Biarpun proses bersalin di Malaysia dan Korea berbeza, dia memilih untuk bersalin di sini.

"Saya memang risau kerana proses bersalin berbeza tetapi saya rasa ia sesuai untuk saya dan kami sepakat bersalin di sini.

"Buat masa ini kami belum tahu jantina anak ini lagi. Mungkin tunggu pemeriksaan pada hujung Mei nanti,” katanya.

[caption id="attachment_45847" width="683"] Maryam memilih untuk bersalin di Kuala Lumpur dan merancang untuk menetap di beberapa negara berlainan dalam jangka masa lima tahun lagi.[/caption]

Tambah Maryam, sejak hamil, dia amat merindui masakan Korea dan bersyukur kerana makanan negaranya itu mudah didapati di sini.

"Sebelum mengandung, saya makan semua masakan Malaysia. Tapi sejak mengandung rindu sangat dengan makanan Korea.

"Bila teringin, tak susah sebab di Kuala Lumpur banyak restoran Korea, jadi abang (Ryzal) akan bawa saya ke restoran bila teringin,” jelasnya yang akan menetap di sini untuk tempoh beberapa tahun lagi.