APABILA sebut sahaja hari raya, pastinya terbayang-bayang menu yang enak belaka. Antaranya seperti ketupat, rendang, lemang dan sebagainya.
Namun, bagi kanak-kanak pula, perkara pertama yang bermain pada minda mereka adalah duit raya.
Tiba-tiba penulis terngiang-ngiang pula lagu dendangan Anuar Zain dan Ellina bertajuk Suasana Hari Raya.
"Wajik dan dodol jangan lupakan
Peninggalan nenek zaman berzaman
Asyik bersembang pakcik dan makcik
Hai, duit raya lupa nak diberi"...
Selain dianggap sebagai berkongsi rezeki bersama keluarga dan saudara terdekat, pemberian duit raya juga menambahkan kemeriahan lebaran yang diraikan.
Penulis yakin sudah ramai sudah membuat persediaan rapi antaranya menukar duit dan menyediakan sampulnya.
Apa yang pasti, hendak bagi duit raya mestilah berhajat meletakkannya dalam sampul yang cantik-cantik dan punyai ilustrasi yang menarik bukan?
Antaranya corak abstrak, kartun kegemaran dan mungkin juga beberapa jenama terkenal yang boleh menjadi pilihan.
Semalam, satu perkongsian daripada pengguna TikTok @lunariaa.co telah membantu orang ramai mencetaknya dengan mudah sekali. Senang kata, buat sendiri sampul raya, tak payah beli dah!
Video pendek itu telah mendapat 43.1 ribu tontonan dan lebih dua ribu sukaan setakat ini.
Rupa-rupanya tak susah pun untuk cetak sampul duit raya dengan desain pilihan hati sendiri.
Jom cuba buat sampul duit raya sendiri dengan mengikuti langkah-langkah mudah dalam video di bawah.