SEBUT sahaja nama Puteri Gunung Ledang, pasti ramai yang mengetahui mengenai kisah cintanya bersama pahlawan Melayu terkenal di Nusantara, siapa lagi kalau bukan Hang Tuah.
Kisah tujuh dulang hantaran sebagai tanda penolakan pinangan Sultan Melaka masih diceritakan sehingga ke hari ini biarpun sudah ratusan tahun berlalu.
Pun demikian, kita lihat generasi muda di negara ini hanya disogokkan dengan puteri-puteri dongengan dari negara Barat seperti Rapunzel, Cinderella, Snow White, Frozen mahupun Beauty & The Beast.
Cuba anda buat pertanyaan rawak dengan kanak-kanak yang berada di sekitar anda, nama-nama itulah yang disebut dan laju sahaja meluncur pada bibir mereka.
Sebenarnya, tak boleh juga nak salahkan budak-budak ini kerana kita sendiri yang 'menyuap' minda mereka dengan cerita-cerita sebegitu sehinggakan sejarah atau apa yang kita miliki sengaja dilupakan atau buat-buat tak ingat.
Untuk 'refresh' kembali ingatan kita tentang legenda puteri-puteri yang terkenal di alam Melayu, SinarPlus kongsikan nama-nama dan beberapa fakta menarik tentang legenda puteri selain Puteri Gunung Ledang yang tersingkap dalam historiografi sejak sekian lama.
1. Puteri Syahrul Bariyah
Kisah puteri ini diceritakan dalam Sulalatus Salatin. Difahamkan Puteri Syahrul Bariyah merupakan puteri kepada Raja Kida Hindi.
Memiliki personaliti yang menarik dan baik akhlaknya, Puteri Syahrul Bariyah dikahwinkan dengan Raja Iskandar yang merupakan kerabat diraja Rom.
Raja Iskandar seorang yang gemar mengembara telah bersetuju meninggalkan isterinya di Hindi bersama ayahnya.
Sepanjang peninggalan beliau, Puteri Syahrul Bariyah melahirkan seorang putera bernama Aristun Syah.
2. Puteri Gunung Banang
Berdasarkan cerita turun-temurun, Puteri Gunung Banang dikisahkan sebagai adik beradik kepada Puteri Gunung Ledang. Terkejut bukan! Tunggu, ada lagi.
Selain Puteri Gunung Ledang, Puteri Gunung Banang turut mempunyai adik beradik lain iaitu Puteri Gunung Panti dan Puteri Gunung Beremban. Wow! menarik cerita ini.
Puteri itu dikatakan tidak dapat dilihat dengan mata kasar dan memiliki sifat yang suka membantu orang lain terutama mereka yang tersesat di kawasan gunung.
Kisah tersebut pernah diangkat sebagai naskhah filem terbitan Malay Film Production sekitar tahun 1950-an.
Jalan kisahnya berkisar bagaimana Puteri Gunung Banang pernah mengubah kehidupan seorang lelaki yang hodoh dan miskin berubah menjadi kaya serta tampan.
Nasib tidak menyebelahi pemuda itu apabila dia disumpah menjadi seekor monyet akibat sifatnya yang sombong.
3. Puteri Lindungan Bulan
Nama sebenarnya Puteri Lindungan Bulan dikhabarkan adalah Puteri Zaleha yang merupakan seorang wanita jelita dan baik budi pekerti.
Puteri yang berasal dari Kedah itu merupakan anak kepada Sultan Sulaiman Shah dan menariknya, beliau dipercayai memiliki darah putih berbanding saudaranya, Puteri Mariam.
Mengikut cerita, seorang putera dari Acheh telah jatuh cinta dengan Puteri Zaleha, tetapi Sultan Sulaiman Shah mengambil keputusan mengahwinkan putera itu dengan Puteri Mariam.
Putera itu kemudian melancarkan serangan ke atas negeri Kedah kerana berasa tertipu apabila mengetahui Puteri Mariam memiliki darah merah selepas jarinya terluka kerana terkena kacip pinang.
Disebabkan itu, sultan mengambil keputusan untuk menyembunyikan Puteri Zaleha sehinggakan tiada siapa yang menemui puteri itu lagi.
4. Puteri Walinong Sari
Menurut hikayat lama, nama sebenarnya ialah Puteri Wanang Sari yang mahir dalam persilatan, bermain senjata dan cantik rupawan.
Berasal dari negeri Inderapura yang kini dikenali sebagai Pahang.
Diceritakan, Puteri Wanang Sari bersama rombongan istana berangkat ke Pekan untuk membeli hantaran perkahwinan bersama anak Datuk Temenggung Melaka, Tun Putih Cahaya Pualam.
Setibanya di Pekan, puteri itu telah didatangi oleh seorang lelaki yang buruk rupanya dan miskin.
Selama tiga hari berada di Pekan, lelaki itu menghadiahkan sebiji talam pada hari pertama, sekaki payung berwarna kuning dan pada hari terakhir, sekuntum bunga melur.
Disebabkan perasaan ingin tahu, puteri telah meminta lelaki terbabit untuk bertarung dengannya, namun disebabkan kedua-duanya hebat, Puteri Wanang Sari telah membuka kain pelitup wajah bagi menampakkan kejelitaannya.
Disebabkan terkejut dengan kecantikan puteri, lelaki terbabit kemudian jatuh pengsan.
Secara perlahan-lahan, lelaki tersebut berubah menjadi Raja Mambang Segara dan telah menyebabkan ayahandanya, Raja Laksamana Petir murka dan telah mengarah kilat serta petir membawa anaknya pulang ke Gunung Tahan.
Puteri Wanang Sari kemudian dikhabarkan telah pergi ke Gunung Tahan untuk bertemu Raja Mambang Segara.
Jadi secara rumusannya, kisah dongeng atau mitos yang kita miliki jauh lebih 'dramatik' daripada cerita Barat.
Malangnya, kisah sebegitu semakin lama hilang ditelan zaman kerana golongan anak muda sekarang sudah tidak tertarik dengan hikayat klasik.
Di mana silapnya? Justeru, kepada ibu bapa sekalian termasuk para pendidik, apa kata mulai hari ini, anda semua mengubah senario itu.
Sebagai permulaan, belilah buku-buku dongeng puteri-puteri yang banyak dijual di platform e-dagang, Shopee untuk anak-anak kita. Memang banyak dijual dan murah pula itu!
Diharapkan perkongsian SinarPlus ini sedikit sebanyak dapat menyuntik minat kita untuk mengetahui kisah puteri yang tidak kurang menariknya.