PELAKON Farhan Asri mengakui terkejut apabila ada yang menyamakannnya dengan pelakon kelahiran Singapura, Hisyam Hamid.
Jelas Farhan yang juga bekas naib juara pertandingan Hero Remaja 2017 itu, dia menerima beberapa kiriman foto di Instagram miliknya dan hanya mampu ketawa kerana menganggapnya bagai langit dan bumi.
"Saya dan Hisyam berlakon bersama sebagai adik-beradik dalam drama bersiri Cukup Derita Itu yang kini ditayangkan di slot Samarinda TV3.
"Mungkin sekali imbas ada iras tapi saya tak rasa kami memiliki wajah yang hampir serupa. Terus terang saya agak malu kerana wajah kami bagai langit dengan bumi.
"Tambahan Hisyam adalah seorang aktor yang cukup disegani dan hebat manakala saya ini hanyalah insan yang baru nak mengintai peluang dalam bidang ini,” katanya.
Bercakap mengenai kerjaya seninya, Farhan, 24, berkata, biarpun sudah empat tahun mengintai peluang sebagai pelakon, dia tidak pernah berputus asa untuk menantikan bakat seninya dikenali ramai.
"Saya masih anggap perjalanan saya dalam bidang lakonan ini masih baru. Tempoh empat tahun ini mengajar saya banyak perkara.
"Mungkin separuh orang menganggap saya sepatutnya sudah dikenali ramai atau popular tapi bagi saya biarlah nama saya lambat naik asalkan tawaran lakonan sentiasa ada.
"Apa yang paling merisaukan saya jika kehadiran saya dikenali ramai tapi tiba-tiba nama saya merudum dan hilang daripada industri seni. Itu lebih menggerunkan sebab bidang lakonan adalah punca utama rezeki saya,” katanya.
Selain Farhan dan Hisyam, drama bersiri 40 episod arahan Along Kamaludin itu turut dibintangi oleh Ruhainies, Chacha Maembong, Jasmin Hamid, dan Lia Natalia.
Cukup Derita Itu kini sedang ditayangkan di TV3 menerusi slot Samarinda setiap Isnin hingga Khamis jam 9 malam.