PELAKON Rita Rudaini meluahkan rasa kesal apabia dituduh sebagai anti vaksin oleh jirannya sendiri, yang juga seorang pengacara, Farah Hanim Razak menerusi ciapannya di Twitter pada Jumaat sehingga hangat diperkatakan ramai.
Menerusi perkongsian di laman Instagram miliknya pada Jumaat, Rita menafikan dakwaan tersebut dan menyifatkan tindakan dilakukan pengacara tersebut sebagai tidak berasas dan mempunyai niat lain di sebaliknya.
"Kehadapan individu yang kata dia jiran saya. Terima kasih kerana ambil berat dengan kehidupan seharian saya, termasuk apa saja dikongsikan di Instagram. Nampak gayanya, dia tahu segala sudut dan inci mengenai saya.
"Apa ingin saya cakap adalah, apa bukti dia mengatakan saya anti vaksin? Besar dan berat sangat tuduhan tu. Boleh jadi fitnah.
"Saya nak tanya kepada semua rakyat Malaysia, terutamanya orang Melayu. Adakah dengan membuat rebusan herba dan meminum airnya salah? Adakah ia haram? Adakah ia boleh memudaratkan kesihatan,” soalnya.
Menurut Rita lagi, apa yang dilakukan itu hanyalah sebagai satu alternatif untuk menjaga kesihatan dirinya sekeluarga dan bukan sebaliknya.
"Apakah menjadi kesalahan untuk seseorang yang mengamalkan pengambilan herba sebagai satu alternatif untuk menjaga kesihatan diri? Adakah itu boleh dilabel anti vaksin?
"Pakar mata dan motivasi, Datuk Prof Dr Muhaya Mohamad ada memberikan tips berkenaan amalan air rebusan rempah ratus tertentu dipercayai baik untuk kesihatan tubuh bagi kecergasan diri dan menguatkan imunisasi badan.
"Jadi, saya nak bertanya sekali lagi kepada jiran yang ambil berat itu, adakah perbuatan itu salah,” ujarnya.
Tambah Rita, hanya kerana kerap berkongsi tentang tip pencegahan Covid-19 dengan menggunakan air rebusan herba di media sosial, dia labelkan sebagai anti vaksin oleh pengacara terbabit.
"Jangan hanya kerana saya berkongsi semua perkara itu termasuk memuat naik berkenaan kekurangan vaksin saya dilabel sedemikian.
"Apa perasaan dia kalau saya dan orang lain label dia dengan panggilan sama atau apa saja. Adakah dia suka?
"Kalau betul dia jiran saya, tak perlu letakkan initial nama. Sebut sahaja nama saya. Saya sejenis yang lebih suka cakap terus terang.
"Sebelum ini boleh saja komen di Instagram saya. Baik saja perilakunya. Kenapa perkara ini, kena letak initial pula? Datang dan jumpa saya, cakap depan-depan. Atau nak saya ajak bermain bunga api lagi,” luahnya.
Terdahulu Farah Hanim Razak memuat naik satu ciapan di laman Twitter berkenaan pelakon yang dikatakan anti vaksin.
"Cuba teka siapa jiran-jiran saya yang anti vaksin? Dua pelakon bermula dengan huruf RR dan LL. Selalu sebar dakyah rebus bunga cengkih untuk elak Covid-19, serta Covid-19 adalah iluminati,” tulisnya.
Biarpun tidak menyebut nama penuh, tetapi gambaran yang diberikan menerusi huruf RR menyebabkan ramai membuat andaian, salah seorang selebriti yang dimaksudkan itu adalah Rita Rudaini.
(FOTO: Instagram Rita Rudaini)