VOC atau Variant of Concern adalah varian baharu yang mudah menjangkiti dan ia merebak dengan cepat selain jumlah kes kematian juga meningkat.
Varian Covid-19 yang tersebar di India mencetuskan penularan lebih pantas di republik itu dan diklasifikasikan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebagai Variant of Concern.
Kini peningkatan kes yang melibatkan varian baru bukan hanya di negara kita tetapi juga di Singapura, Thailand dan negara-negara lain.
Menurut Pakar Perubatan Keluarga UiTM Private Specialist Center (UPSC) & Fakulti Perubatan UiTM, Dr Khasnur Abd Malek, kehadiran tiga jenis Variant of Concern (VOC) virus Covid-19 di masa negara sedang mengalami lonjakan gelombang kes yang tinggi adalah merisaukan.
Penularan kes yang tinggi adalah medium terbaik untuk virus berterusan bermutasi dan berisiko untuk mengubah struktur protein dan menyebabkan impak bahaya keatas kesan jangkitan Covid-19 sedia ada.
Bagaimanakah Variant of Concern (VOC) boleh berlaku?
Melalui penerangan Dr Khasnur, mutasi adalah salah satu proses kesinambungan virus untuk terus berkembang dan terus mengadaptasi dengan lebih baik untuk terus hidup.
"Setiap kali virus dibenarkan berganda, akan terjadi sedikit perubahan ke atas susunan genom virus. Proses inilah yang digelarkan mutasi. Kebanyakan proses mutasi adalah tidak membimbangkan, akan tetapi, proses mutasi yang berjaya melibatkan perubahan struktur protein virus, dan menyebabkan impak yang tinggi dan digelar ‘Variant of Concern’,” katanya.
Apakah jenis vaksin Covid-19 yang ada di Malaysia sekarang?
Setakat ini, di Malaysia, terdapat tiga jenis vaksin yang telah mendapat kelulusan Agensi Regulatori Farmasi Negara (NPRA) untuk proses imunisasi aktif untuk mencegah jangkitan serius dari Covid-19 iaitu Pfizer, Sinovax dan AstraZeneca.
Proses penghasilan antibodi melalui tindak balas imun ini adalah sangat penting kerana, ia salah satu cara yang terbaik untuk melindungi individu daripada risiko jangkitan serius dari COVID-19 berbanding dengan individu yang tidak mengambil vaksin.
Adakah vaksin Pfizer dan AstraZeneca masih berkesan ke atas VOC?
Soalan ini mungkin banyak bermain di fikiran orang ramai. Memandangkan kehadiran VOC adalah baru di dalam komuniti, data daripad kajiselidik adalah terhad. Keputusan kajiselidik ini terus berkembang dari masa ke masa. Pihak Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) telah memberi perincian terbaru pada 23 Mei 2021, berkenaan keberkesanan vaksin terhadap VOC.
"Terdapat sedikit perbezaan peratusan keberkesanan antara kedua-dua vaksin. Ini adalah berkemungkinan ketidakcukupan maklumat susulan setelah habis 2 dose AstraZeneca.
"Seperti yang kita sedia maklum, vaksin AstraZena dilancarkan sedikit lewat berbanding vaksin Pfizer di UK. Memandangkan keberkesanan tindak balas imun memerlukan masa lebih dari dua minggu, ia boleh menjadi salah satu faktor ke atas perbezaan keputusan kajian sedia ada,” katanya kepada SinarPlus.
Adakah vaksin Sinovac masih berkesan ke atas VOC?
Manakala untuk vaksin Sinovac, Dr Khasnur memaklumkan kajian awal menunjukkan keberkesanan vaksin ini bagi mencegah jangkitan Covid-19 walaupun dengan kehadiran VOC.
Dr Khasnur menyeru agar masyarakat mengambil langkah segera untuk mengambil pelalian untuk virus berbahaya ini.
"Kita perlu memastikan pemvaksinan diberikan kepada lebih 80 peratus individu di Malaysia untuk membina imunisasi berkelompok. Sementara menunggu proses ini berlaku, walaupun kita telah mendapatkan vaksin, kita perlu terus untuk mematuhi SOP.
"Walapun kita akan melihat penurunan kes Covid-19 dengan peningkatan peratusan pengambilan vaksin, kita harus jangan terlalu selesa dan melupakan SOP. Kerana kelalaian ini akan membenarkan penularan semula virus.
Katanya orang ramai masih perlu mematuhi SOP dan mengikuti nasihat kesihatan awam seperti menjaga penjarakan fizikal, tidak kunjung mengunjung, duduk dirumah jika tiada keperluan untuk keluar, kerap kali membasuh tangan dan memakai pelitup muka yang bersesuaian apabila berada dikawasan awam atau berjumpa dengan orang ramai.
Dengan mematuhi SOP yang berterusan kita akan dapat memutuskan rangkaian mutasi virus di dalam komuniti.
Foto: @JKJAVMY