KUIH serunai atau dikenali sebagai tepung pasung merupakan menu tradisional masyarakat di Pantai Timur.
Menurut Tahrunnisah Jali atau lebih mesra disapa Nisah, beliau yang sebelum ini pernah menetap selama 13 tahun di Arab Saudi kerap memasak kuih tersebut jika teringat keluarganya di kampung.
"Sebelum ini, saya tinggal di Arab Saudi kerana mengikut suami bertugas. Sepanjang berada di sana, kuih serunai ialah kuih yang selalu saya masak sehinggakan sanggup membawa bahan-bahan asasnya dari Malaysia," beritahu bekas pendidik itu.
Bercerita mengenai kisah di sebalik kuih itu, kata Nisah, sebenarnya namanya dipanggil sedemikian rupa kerana bentuk yang sama seperti alat muzik serunai.
Berkongsi tip untuk menghasilkan kuih serunai yang tahan lama, Nisah memaklumkan, pertama sekali, pembikin kuih perlu memastikan adunan dimasak terlebih dahulu sebelum dikukus.
Pun demikian, pesan Nisah, semasa menuang adunan ke dalam kelongsongnya, perlu lebih berhati-hati.
"Pastikan hanya tiga perempat sahaja (adunan bawah) dituang dan ia perlu dikukus sebelum menuang adunan pada bahagian atas pula. Memang rumit, tetapi itulah cara bagi menghasilkan kuih serunai yang sempurna," katanya lagi.
Nisah turut berkongsi cara paling mudah untuk mengukus menu terbabit.
"Pastikan kelongsong disusun (secara berdiri) di dalam periuk pengukus dengan memasukkan bucu bawahnya ke dalam lubang-lubang yang terdapat dalam periuk berkenaan.
"Dengan cara itu, proses mengukus kuih serunai akan menjadi cepat, selain hasilnya tidak comot dan adunannya akan kenyal dan rapi.
Hidangan akan bertambah ‘padu‘ jika disajikan bersama kopi O panas.
PROFIL
- Nama: Tahrunnisah Jali
- Umur: 43 tahun
- Asal dan menetap: Beserah, Pahang.
RESIPI KUIH SERUNAI
Bahan-bahan (bahagian bawah)
- 2 sudu besar gula pasir
- 1 1/2 gula melaka
- 1 2/3 cawan air
- 1 helai daun pandan disimpul
- 40 gram tepung beras
- 20 gram tepung ubi
- 1 sudu kecil air kapur
Bahan-bahan (bahagian atas)
- 1 1/2 cawan santan pekat
- 2 1/2 sudu besar tepung beras
- 1 sudu besar tepung gandum
- 1 sudu kecil garam (anggaran)
- 1 sudu kecil gula pasir
Cara penyediaan:
- Gula pasir, air dan daun pandan (bahagian bawah) dididihkan dan ditapis. Biarkan sejuk seketika.
- Campurkan ke dalam adunan air gula, tepung beras, tepung ubi dan air kapur lalu dikacau sehingga sebati.
- Panaskan periuk yang mengandungi adunan tadi dan kacau hingga keluar wap dan sedikit kenyal.
- Seterusnya, satukan kesemua bahan (bahagian atas) dan didihkan seketika di atas api sederhana sehingga sebati.
- Setelah siap, masukkan 3/4 adunan bawah dan kukus di dalam periuk pengukus selama 7 minit.
- Seusai bahagian bawah masak, tuangkan adunan bahagian atas sehingga penuh kelongsong dan kepilkan lidi pada hujung balutan.
- Kukus sekali lagi selama 12 ke 15 minit sebelum dihidangkan.
Sumber: Tahrunnisah Jali
ANEKDOT
RESIPI KUIH BUKO PANDAN
Bahan-bahan
- 5 gram serbuk agar-agar warna putih
- 10 gram serbuk jeli
- 700 mililiter air kelapa muda
- 2 helai daun pandan (disimpul)
- 70 gram gula pasir
- 1/4 sudu kecil pes pandan
- 2 buah isi kelapa muda (hiris memanjang)
- 100 gram manisan buah kabung
- 100 gram Nata de Coco
- 300 mililiter susu sejat
- 200 gram susu pekat
- 100 mililiter krim putar
Cara penyediaan:
- Satukan ke dalam periuk air kelapa muda, serbuk agar-agar, serbuk jeli, gula pasir, daun pandan dan pes pandan.
- Seterusnya, kesemua bahan dikacau sehingga sebati.
- Masak sehingga mendidih. Selepas itu, tuangkan ke dalam bekas dan biarkan adunan mengeras.
- Kemudian, adunan dipotong (berbentuk kiub).
- Seterusnya, jeli pandan, kelapa muda, manisan buah kabung dan Nata de Coco dimasukkan ke dalam mangkuk.
- Tuangkan susu sejat, susu pekat dan krim putar.
- Gaulkan sehingga sebati. Simpan dalam peti sejuk selama 2 ke 3 jam sebelum di hidang.
Sumber: cookpad.com/@Jeehan_ Kitchen