Ben Amir tidak siakan peluang depan mata

Iklan
Ben Amir

MESKI sudah menceburi bidang lakonan sejak lebih lapan tahun lalu, Ben Amir mengakui baru sahaja mengecapi populariti apabila bakat dan namanya mula diberikan perhatian dalam dua tahun ini.

Tidak mahu mensia-siakan setiap peluang yang datang kepadanya, Ben atau nama sebenarnya Muhammad Amir Sabaruddin, 31, sentiasa memberikan terbaik untuk menyerlahkan kemampuan lakonannya menerusi pelbagai karakter.

Iklan
Iklan

"Saya belum lagi sampai ke tahap pelakon yang bagus atau sebaris dengan nama-nama besar dalam industri, tetapi saya sentiasa berusaha untuk berada di situ.

"Boleh dikatakan nama saya naik dalam tempoh dua tahun ini, terutamanya selepas menang di Anugerah Era dan Anugerah Bintang Popular pada tahun lalu sekali gus membuka banyak peluang baharu.

Iklan

"Bagaimanapun kebetulan pada tahun lalu pandemik Covid-19 tercetus sehingga menyebabkan banyak kerja terpaksa ditangguhkan dan perjalanan saya menjadi perlahan,” ujarnya pada sesi sidang media secara virtual drama Diva Popular untuk siaran Awesome TV baru-baru ini.

Menurut bekas finalis Hero Remaja Hero Remaja 2011/2012 itu, banyak tawaran menarik diperoleh, namun tidak dapat dilakukan kerana kekangan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Iklan

"Pelbagai tawaran menarik saya dapat pada tahun lalu dan tahun ini yang bakal menguji lakonan saya, tetapi disebabkan keadaan semasa dan kekangan PKP, ia tidak dapat diteruskan.

"Saya percaya, banyak benda lagi yang saya boleh tawarkan kepada industri dan macam-macam karakter yang saya nak cuba tapi bila ada peluang, tak dapat buat pula kerana keadaan.

"Saya harap pandemik segera berakhir dan kami penggiat seni dapat kembali buat kerja-kerja yang tertangguh sebelum ini,” katanya.

Berkongsi tentang pembabitannya menerusi drama komedi Diva Popular terbitan Rumah Karya Citra dan arahan oleh Rahid Sibir, Ben menyifatkan drama tersebut banyak memberikan pengalaman baharu buatnya.

"Saya pernah menjayakan drama komedi sebelum ini, tapi bukan senang nak cari komedi yang kena dengan saya sebagaimana ditampilkan dalam Diva Popular.

"Agak susah bagi saya pada awalnya kerana saya dikenali sebagai pelakon serius. Komedi kena nampak semulajadi dan itulah cabaran untuk saya.

"Apatah lagi bila bergandingan dengan pelakon-pelakon yang hebat seperti Nabila Huda dan Tiz Zaqyah yang kita sudah tahu bagaimana permainan dan komitmen mereka dalam lakonan,” ujarnya.

Drama yang turut menampilkan lakonan Fauziah Ahmad Daud dan Erma Fatima itu menemui penonton di Awesome TV (saluran 123), setiap Isnin hingga Jumaat, jam 7 malam.

Dalam perkembangan lain, Ben yang mula mencipta populariti menerusi drama Sweet Dreams itu mengakui turut terjejas pendapatan disebabkan pandemik apabila banyak tawaran kerja tidak dapat dilaksanakan.

"Semua orang terjejas disebabkan pandemik, termasuklah saya. Cuma saya bernasib baik kerana ada pendapatan lain menerusi kolaboratif bersama beberapa jenama produk untuk komitmen di platform digital,” katanya.