BARANGKALI pasti ramai yang mahu mengetahui perkembangan terkini Imuda yang juga bekas kakitangan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) apabila ketika ini jarang sekali kelibatnya muncul di kaca televisyen.
Menjawab tanda tanya itu, menurut pemilik nama sebenar Abdul Rahim Muda, selain masih aktif menerima tawaran berlakon, beliau juga memperuntukkan masa untuk melukis gambar atau karikatur yang ditempah pelanggannya.
”Sebelum ini, saya membantu menjayakan dua telefilem iaitu Kampung Kuala Lambat dan Manap Karaoke. Kini, memenuhi tempahan lukisan pula.
”Kebanyakan tempahan dibuka melalui dalam talian dan kenalan rapat. Ada juga lukisan untuk golongan VVIP (orang ternama) sebagai hadiah,” bicaranya yang kini berada di Sungai Gelugor, Pulau Pinang.
[caption id="attachment_7022" width="1024"] IMUDA merakam kenangan bersama tempahan lukisan yang disiapkan untuk pelanggan.[/caption]
'Terkandas' dek Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) gara-gara Covid-19, bekas peserta Maharaja Lawak Mega 2011 itu terpaksa melanjutkan percutian di kampung halaman isterinya sehingga tempoh larangan berakhir.
”Saya terpaksa tunggu di kampung sementara PKP ini belum tamat. Saya percaya bukan saja orang lain, sudah menjadi harapan kami sekeluarga supaya wabak ini dapat dibendung,” katanya yang turut meminta peminatnya mematuhi arahan duduk di rumah.
Zaman kegemilangan
Mengimbas kembali zaman kegemilangannya, jejaka bernama Budin sangat sinonim dengan pelakon Imuda. Watak itu pasti diingati oleh peminatnya sehingga ke hari ini.
Tidak keterlaluan dikatakan, magis sitkom rancangan televisyen Pi Mai Pi Mai Tang Tu yang cukup popular pada tahun 1985 itu jualah yang berjaya menaikkan namanya di persada seni tanah air selama 14 tahun.
Aksinya yang bersahaja dan lucu menjadikan gelaran Budin meniti di bibir peminat drama tempatan selepas sitkom komedi itu melonjak rating tontonan.
[caption id="attachment_7023" width="1024"] ANTARA karya yang dihasilkan Imuda untuk diabadikan bersama insan tersayang.[/caption]
Bagi Imuda, tipulah jika beliau tidak merindui suasana set penggambaran Pi Mai Pi Mai Tang Tu yang telah menaikkan namanya sebagai pelawak tempatan.
”Siapa tidak rindu dengan sitkom komedi yang pernah mendapat tempat di hati masyarakat. Bahkan sehingga kini, ramai bertanyakan jika ada tayangan semula rancangan itu dengan nafas baharu.
”Siapalah kita untuk mengiakan, sedangkan itu di luar bidang saya. Ramai yang mahukan sitkom itu ditayangkan semula seperti rancangan Spanar Jaya yang menggabungkan pelakon lama dan baharu,” luahnya kepada Sinar Plus baru-baru ini.
Bapa kepada empat anak itu turut menyimpan impian sekiranya ada pihak khususnya penerbit rancangan yang sudi mengembalikan nostalgia lama rancangan komedi tersebut.
”Barisan pelakon masih aktif sampai sekarang. Tak salah jika diadakan reunion bagi mengimbas kembali watak-watak yang pernah menjentik hati penonton seperti Sabri Yunus, Khatijah Tan ataupun Angeline Tan.
”Mungkin boleh menyemarakkan lagi industri seni tanah air dengan cerita masyarakat yang diangkat dalam sitkom komedi,” cadangnya yang juga aktif mempromosikan lagu terbaharu berjudul Jam bersama Art Fazil dan Baba Andy.