BARU-BARU ini kecoh apabila terdapat kajian yang terkini mendapati virus Covid-19 boleh merebak melalui udara atau airborne.
Apa yang dimaksudkan 'merebak melalui udara' itu? Adakah seperti hawar bawaan angin?
Menjawab persoalan itu, SinarPlus berkongsi pandangan Pakar Perubatan Keluarga Klinik Kesihatan Tengkawang, Terengganu, Dr Suhazeli Abdullah.
[caption id="attachment_49145" width="1024"] Dr Suhazeli.[/caption]
Tulisnya di Facebook, ia tidak benar dan tidak tepat jika terdapat pandangan yang menyatakan bahawa kes Covid-19 boleh berjangkit apabila berada di tempat jemuran luar rumah ataupun berkebun di luar rumah.
"Jika berlaku kematian seperti itu perlu disiasat apakah punca kematiannya.
Memberi gambaran lebih terperinci, kata pakar itu, ia tidak bererti jika satu kampung dijangkiti oleh Covid-19, angin dari kampung A yang bergerak ke kampung B, akan menyebabkan kampung B itu turut dijangkiti.
"Jangkitan wabak itu masih lagi tertakluk kepada pertemuan fizikal manusia, duduk dekat-dekat, berkumpul ramai sama ada di kedai kopi, kedai makan, masjid atau tempat-tempat awam.
"Jelas sekali, hasil daripada pergerakan manusia itulah yang menjadi penentu utama wabak berlaku,” ungkapnya.
Pun demikian, seperti semua sedia bahawa kini sudah hampir lebih 80 peratus kes adalah berbentuk sporadic iaitu tidak diketahui siapa indeks kes tersebut.
Berikut intipati lanjut yang perlu kita tahu tentang virus yang merebak melalui udara:
i) Pemahaman sebelum ini adalah jangkitan boleh berlaku apabila:
a. Berada dengan jarak yang dekat kurang dari 1 meter.
b. Pertemuan fizikal melebihi 15 minit mempunyai risiko tinggi untuk dijangkiti.
Namun, para pengkaji menemui lebih daripada itu kerana kebolehjangkitan bergantung kepada kepatuhan kita kepada prosedur operasi standard di sesuatu lokaliti, ruang dan pengudaraan.
Jika ia ruang itu tertutup dan pengudaraan yang secara berpusat, situasi itu boleh berlaku jangkitan bawaan udara.
ii. Setakat ini pengkaji tidak menemui sebaran jarak jauh seperti bersebelahan bilik ataupun bersebelahan rumah juga bersebelahan kampung walaupun terdapat kes-kes terpencil yang dilaporkan.
Jika ia berlaku berkemungkinan besar berpunca daripada pergerakan manusia, cuma tidak diketahui secara jelas.
iii) Kajian mendapati, 59 peratus daripada kes tidak bergejala positif boleh merebak secara bawaan udara melalui percakapan dan pernafasan.
iv) Penggunaan peralatan pelindung diri (PPE) oleh anggota barisan hadapan didapati hanya mencegah daripada jangkitan secara droplet, tetapi terdapat ruang-ruang udara yang boleh lagi dimasuki dan menjadi punca kepada jangkitan.
Keadaan itu memerlukan penambahbaikan pemakaian PPE, pemakaian pelitup muka secara dua lapis, sentiasa menjarakkan diri sebaik mungkin daripada individu yang disahkan positif dan penggunaan cecair pembasmi kuman.
v) Virus Covid-19 masih lagi berada di persekitaran udara setempat itu sekitar tiga jam dan jangka hayat separuhnya (t half) adalah sejam setengah.
vi) Vaksin adalah langkah terbaik untuk mencegah diri kita dan keluarga kita daripada terus dijangkiti Covid-19.
Oleh itu, diharapkan perkongsian di atas memberi penjelasan yang lebih jelas kepada pembaca SinarPlus.
Baca juga: Tak bermaya, hilang daya tumpu selepas sembuh. Long Covid hantui bekas pesakit koronavirus
Ingat, jika tiada sebarang kepentingan, usahlah ke mana-mana. Duduk sahaja di rumah.
Kita perlu sama-sama bekerjasama membantu memutuskan rantaian wabak pandemik ini dengan segera.
#kitalaluibersama