JIKA si isteri beri bantuan pada barisan hadapan, si suami pula nak belanja pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang dapat keputusan 5A.
Begitulah khabar gembira yang dikongsikan pendakwah bebas juga selebriti, Muhammad Haris Mohd Ismail atau PU (Pencetus Ummah) Riz, yang menawarkan RM300 kepada pelajar yang mendapat keputusan 5A pada SPM yang diumumkan semalam.
PU Riz, 26, berkata mana-mana ibu bapa yang mempunyai anak atau kepada pelajar itu sendiri boleh terus menghubunginya menerusi mesej peribadi (DM) di Instagram beserta bukti slip keputusan mereka.
"Saya mencari pelajar yang mendapat keputusan 5A dalam SPM 2020 yang diumumkan semalam. Mereka hanya perlu DM saya beserta slip keputusan bakal menerima hadiah daripada saya.
"Setiap seorang akan dapat RM300. Saya mahu berkongsi rezeki dengan adik-adik ini. Sekali gus mahu memberi galakan kepada mereka untuk terus berusaha pada masa akan datang.
"Saya tahu nilai ini tak besar, tapi apa saya cuba nak sampaikan adalah setiap usaha itu pasti akan perolehi kebaikan dan ganjaran. Buktinya mereka sudah belajar bersungguh-sungguh dan dapat keputusan cemerlang. Kemudian dapat pula ganjaran hadiah," katanya.
Dalam masa sam, PU Riz menjemput kesemua pelajar yang terpilih itu menyertai sesi siaran langsung di IG miliknya @hrisbismail pada jam 1 petang, esok.
"Saya memberi peluang kepada mereka untuk turut serta dalam sesi 'live' bersama saya. Sedikit sebanyak mereka boleh berkongsi tips pembelajaran atau apa saja yang diamalkan sehingga mendapat keputusan cemerlang.
"Saya anggap perkongsian ini nanti bukan saja berguna pada semua yang menonton, tapi dapat dijadikan inspirasi kepada pelajar lain yang bakal menduduki SPM akan datang.
"Mana tahu perkongsian ini nanti dapat menjadi asbab kepada kejayaan ramai pelajar pula," katanya.