SELEPAS tiga tahun membina kerjaya bersama syarikat rakaman Warner Music Malaysia, penyanyi Elizabeth Tan akhirnya mengambil keputusan mengembangkan kerjaya nyanyian sendiri sekali gus meninggalkan syarikat tersebut.
Elizabeth atau lebih mesra disapa sebagai Lizzy, 28, berkata, keputusan tersebut bukanlah mudah baginya, namun perlu dilakukan demi memberi fokus kepada minat dan perancangan lain dalam kerjaya seninya.
"Saya sudah meninggalkan syarikat rakaman Warner Music Malaysia selepas tiga tahun bersama mereka.
"Sejujurnya, keputusan dibuat ini bukan sesuatu yang mudah. Tapi saya perlu teruskan kerana ingin beralih ke fasa baharu dalam hidup.
"Selepas ini saya mahu memberi tumpuan kepada minat yang lain pula dan tidak tertumpu kepada muzik semata-mata.
"Dalam erti kata lain, saya mahu melangkah keluar dari zon selesa selama ini iaitu selepas tujuh tahun menjadi penyanyi,” katanya.
Menurut Lizzy yang mula dikenali menerusi lagu Knock Knock, sepanjang pembabitannya dalam industri muzik tempatan, dia sentiasa melihat dan ingin mencuba sesuatu yang baharu.
"Sepanjang tempoh iaitu perjalanan sebagai penyanyi, malah bukan sahaja selepas berkahwin, saya sudah melihat perkara yang lebih jauh ke depan. Ia lebih berbeza daripada sebelumnya.
"Dari situ, saya menyedari terdapat banyak lagi perkara yang ingin dicuba selain daripada muzik sahaja. Sudah tentu saya tidak mahu melepaskan peluang yang ada depan mata,” katanya.
Keputusan yang mengejutkan ramai pihak itu bagaimanapun bukan bermaksud Lizzy akan meninggalkan terus dunia muzik.
"Saya masih aktif dalam muzik, tapi keutamaan dan arah tuju selepas ini sedikit berubah.
"Seperti semua tahu, saya juga terbabit dalam bidang lakonan. Dalam masa sama, saya masih belajar untuk menguruskan perniagaan sendiri.
"Sebenarnya, saya juga masih dalam proses menghasilkan beberapa lagu nyanyian semula (cover). Saya tidak sabar untuk berkongsi kepada semua,” katanya.