KISAH tertukar bayi yang tular di media sosial baru-baru ini didakwa berpunca daripada kecuaian pihak hospital swasta di Shah Alam, Selangor.
Hati ibu mana yang tidak cemas apabila tertukar bayi orang lain. Lebih memilukan si comel yang dibawa pulang ke rumah, dibelai dan dimanja dalam tempoh beberapa jam rupa-rupanya bukan anak kandung.
Inilah yang berlaku terhadap Siti Suriani Wahiddin. Ibu muda berusia 22 tahun itu menyedari bayinya telah tertukar tatkala suami memotong gelang hospital pada kaki anak kecil terbabit.
Siti berkongsi kisahnya di laman Facebook kelmarin. Video tersebut telah mendapat lebih 3.8 juta tontonan dan mendapat lebih 71,000 komen.
Bicaranya yang lebih dikenali sebagai Siti Jamumall, beliau menyedari bayi yang didukung bukan anak sendiri apabila suaminya ingin memotong tanda nama pada kaki kanan bayi itu.
Terkejut Siti Jamumall bukan kepalang kerana nama ibu yang tertulis atas adalah nama wanita lain.
Lantas, beliau segera membawa bayi berkenaan ke hospital dan lega apabila diberitahu bayinya dan wanita berkenaan masih ada di hospital.
Lebih menyentuh hati ketika sesi penyerahan bayi masing-masing yang disifatkan berlangsung dalam situasi sarat emosi.
Masakan tidak, kedua-dua ibu itu telah menyayangi bayi-bayi terbabit seperti anak sendiri.
Pasangan tersebut menzahirkan rasa syukur apabila bayi diberi nama Putra Aiman Zhafran Mohammad Syafiq dan Aysar Aryan Muhd Khairul Azman berada dalam keadaan sihat.
"Apabila saya dapat, Ya ALLAH, sebiji muka anak saya pertama, samanya. Saya terus peluk dan cium. Saya kata ini anak aku, Ya ALLAH.
"Sebab saya sedar ini bukan drama, this is real thing happen kepada diri saya. Saya cakap Ya ALLAH kalau tidak jentik suami saya untuk tengok nama itu, sampai bila-bila aku tak akan jumpa anak aku,” tutur Siti Suriani.
Sementara itu, bagi Diana Hanani Abdullah, 23, pula perkara itu hanya disedari selepas diberitahu pihak hospital.
Beliau yang melahirkan anak pertama secara pembedahan di hospital sama sehari sebelum Siti Suriani memberitahu, insiden itu membuatkan emosinya terganggu.
"Suami saya menggelabah cari gelang itu. Nasib baik sampah belum dibuang lagi. So, kami terus cari dan tengok memang betul nama Puan Siti Suriani.
"Kami juga baru teringat gambar diambil pada mula-mula. Kami terfikir nampak tak sama, tapi beranggapan just baby berubah muka. Lagipun kami anak pertama. Saya memang rasa lain, saya sudah anggap anak Puan Siti Suriani macam anak saya sendiri.
"Lagipun sudah dua hari saya dan suami menjaganya. Balik dari itu kami memang menangis. Tengok anak sendiri tapi teringat anak orang lain,” kata Diana.
Kedua-dua keluarga itu sedang dalam proses mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak hospital.
Diharapkan hubungan mereka tidak tamat begitu sahaja, apatah lagi sudah menjadi ibu susuan antara satu sama lain.
Ada hikmah di sebalik situasi yang berlaku. Semoga tautan silaturahim kedua-dua keluarga terjalin selamanya.
Menjengah ke ruangan komen, warganet mendoakan kesejahteraan bayi dan kedua-dua keluarga ini. Tulis mereka:
-"Alhamdulillah. Berjaya ditukar kembali dan diserahkan kepada ibu Kandung masing-masing dengan selamatnya. Boleh jadi sahabat ibu muda ini. Dan anak-anak juga akan jadi kawan bila besar nanti.”
-"Dua-dua ibu comel. Semoga anak mereka menjadi anak yang soleh. Untung juga anak-anak itu ada dua ayah dan dua ibu.”
-"Alahai tiap kali lalu lalang Kat wall bila tengok ni air mata mestilah gugur, apatah lagi orang yang melaluinya. Tentu emosinya tergugat, yakinlah setiap kejadian berlaku dengan izin Allah dan pasti Ada hikmahnya”
Sumber: Buletin TV3 dan Jamumall.com