PERNAHKAH anda perasan sebarang kesan kulit seperti muncul ruam berwarna kemerah-merahan setiap kali makan makanan tertentu?
Jika ya, segeralah berjumpa dengan doktor untuk mengetahui keadaan sebenar sebelum makanan itu 'merosakkan' kualiti hidup kita.
Mengulas mengenai hal itu, Pengamal Perubatan Am, Dr Zubaidi Ahmad berkata, apabila timbul ruam pada kulit selepas makan roti, situasi berkenaan dikaitkan dengan masalah alahan pada produk gluten.
Justeru, individu itu agar tidak mengambil produk makanan yang kaya dengan gluten.
Sebenarnya, apakah itu penyakit alahan pada produk gluten?
Tulis Dr Zubaidi di Facebook miliknya baru-baru ini, gluten adalah campuran protein yang terdapat dalam gandum dan bijirin.
"Ia memberikan keanjalan pada kuih dan donut, meningkat serta mengekalkan bentuknya.
Dalam pada itu, beritahu Dr Zubaidi, gluten merupakan sumber protein yang baik.
"Secara faktanya, makanan yang dibuat daripada gluten mempunyai protein yang banyak dan ia juga ditambah dalam makanan lain bagi meningkatkan kandungan protein di dalamnya.
"Seperti roti, ia mempunyai banyak gluten. Gluten juga ditambah pada minuman, kicap soya dan juga aiskrim," ujarnya.
Menjawab kepada satu soalan lain, ungkapnya, gangguan gluten (gluten related disorder) adalah penyakit yang dicetuskan apabila seseorang itu mengambil sumber itu (gluten) di dalam makanannya.
Jika diamati, di Asia Tenggara, penyakit tersebut jarang berlaku, tetapi masalah tersebut semakin kerap didapati di Malaysia.
"Ini kerana menu makanan orang Malaysia sudah mula mengikut gaya Barat yang menjadikan ia (gluten) dalam sumber utama makanan.
"Kini, banyak makanan berasaskan tepung yang ditambah dengan gluten kerana ia dapat meningkatkan masa penapaian ketika membuat makanan seperti donut dan piza," ujarnya.
Oleh itu, jika seseorang itu mendapati dirinya benar-benar sensitif terhadap gluten, segeralah beralih kepada makanan seperti beras merah, jagung dan bijirin.
Baca juga: 5 jenis bunga terkenal di Turki. Cantik, tapi hati-hati ada yang beracun
Rujuklah pakar dalam kadar segera agar mereka dapat membantu menyusun jadual makanan yang boleh anda ambil.
Semoga artikel SinarPlus ini bermanfaat kepada semua!