ORANG kata, lagi pelik nama sesuatu resipi, kelazatan akan lebih terserlah. Namun, pernyataan itu tidak boleh disokong seratus peratus. Ini kerana selera masing-masing tidak sama.
Di Terengganu, terdapat satu menu yang dipanggil bubur sanggupal. Bunyinya pelik, bukan?
Namun, kata seorang peniaga sajian berkenaan, Mira Syahiera Che Wan Harun, nama itu barangkali diinspirasikan daripada cara pembuatan bubur berkuah berkenaan.
Ujar Mira Syahiera lagi, cara menyebutnya juga berbeza. Ada sesetengah masyarakat di Pantai Timur terutamanya di Kelantan akan menyebutnya sebagai 'sagupa' atau 'assa guppa'.
Anak kelahiran Jertih, Terengganu itu berkata, lazimnya beliau akan membuat bebola berintikan kacang hijau.
Ibu kepada tiga orang anak itu memberitahu SinarPlus, beliau masih mengekalkan cara lama untuk menyiapkan bubur berkenaan.
Wanita itu turut berkongsi petua untuk mengelak bubur sanggupal menjadi hangit.
"Pastikan api perlahan sepanjang memasak kuah bubur. Ini disebabkan tekstur sagu mudah melekat dan liat. Selain itu, pastikan bebola sanggupal dialih secara perlahan-lahan agar ia tidak pecah," tuturnya.
Sebekas bubur sanggupal yang manis dijual pada harga RM3 dengan lima biji sanggupal.
Beritahu Mira Syahiera, sehingga kini beliau menjadikan menu itu sebagai mata pencarian.
"Saya berniaga bubur ini sudah hampir sembilan tahun. Selain bubur , saya juga menjual aneka kerepek," ujarnya.
PROFIL
- Nama: Mira Syahiera Che Wan Harun
- Umur: 30 tahun
- Asal: Jertih, Terengganu
- Menetap: Bukit Beruntung, Rawang, Selangor
- Facebook: Putri Mira Syahiera
RESIPI BUBUR SANGGUPAL
Bahan-bahan inti
- 250 gram kacang hijau
- 1/2 cawan gula pasir
- Air secukupnya
Bahan-bahan sanggupal
- 250 gram biji sagu
- Air panas
Bahan-bahan kuah bubur
- 3 cawan santan
- 1/2 sudu kecil halba
- 2 sudu besar gula pasir
- 1 sudu teh garam halus
- 1 helai daun pandan
Cara penyediaan inti:
- Rendam kacang hijau selama 2 hingga tiga jam.
- Rebus kacang hijau bersama air sehingga empuk.
- Apabila sudah kering dan kacang menjadi hancur masukkan gula pasir.
- Sentiasa kacau dengan api perlahan sehingga sebati dan kacang betul-betul kering.
- Setelah siap, gumpalkan kacang berbentuk bebola. Kemudian sejukkan semalaman di dalam peti sejuk.
Cara penyediaan sanggupal:
- Masak air sehingga menggelegak.
- Kemudian, jirus pada biji sagu.
- Selepas itu, masukkan sagu ke dalam air sejuk seketika.
- Akhir sekali, kepal-kepalkan biji sagu pada inti yang telah disejukkan dan tutup dengan kemas.
Cara penyediaan kuah bubur:
- Satukan santan bersama halba dan daun pandan. Kemudian, masak sehingga mendidih menggunakan api perlahan sambil sentiasa dikacau.
- Setelah mendidih, masukkan sanggupal, gula dan sedikit garam ke dalam kuah bagi menambah rasa lemak.
- Kacau perlahan-lahan dalam 40 minit sebelum tutup api.
Sumber: Mira Syahiera Che Wan Harun.
ANEKDOT
RESIPI EMPING PADI MUDA
Bahan-bahan
- 2 cawan emping padi muda
- 1 cawan kelapa parut
- 3 cawan air panas
- 2 sudu besar gula pasir
- 1/2 sudu kecil garam
Cara penyediaan:
- Parut kelapa dan ambil yang putih sahaja.
- Emping padi muda tadi dibahagikan kepada dua bahagian. Bahagian pertama dibiarkan kering. Bahagian kedua pula direndam dengan air panas selama satu minit sahaja. Kemudian, toskan.
- Gabungan emping padi muda yang kering dan yang telah ditoskan dalam mangkuk besar.
- Selepas itu, campurkan juga gula dan garam lalu digaul sebati.
- Emping padi siap untuk dihidangkan.
Sumber: cookpad.com/@cikgufaez