BARU tiga bulan melihat dunia, kini tiada lagi senyumannya. Hati ibu bertambah pilu tatkala jenazah anak terbiar semalaman lantaran kesempitan hidup.
Bayi lelaki yang dipercayai anak kedua dari dua adik beradik berkenaan meninggal dunia akibat demam panas.
Tiada tempat bergantung dan tidak mampu untuk menguruskan jenazah, ibu hanya mendakap bayi berkenaan sejak malam.
Lebih menyedihkan, ibu telah meminta pertolongan daripada beberapa individu sebelum kejadian tetapi tidak dibantu.
Kisah yang berlaku di sebuah rumah setinggan Kampung Bangau-Bangau, Semporna, Sabah bagaimanapun disedari seorang sukarelawan badan bukan kerajaan (NGO) tempatan, Rumah Ngaji.
Baca juga 10 Fakta Menarik Tentang Bayi, Fakta Nombor Dua Kena Jaga-Jaga
Menurut Pengasas Rumah Ngaji, Laili Basir berkata, pihaknya dengan bantuan tiga ustaz kampung membantu menguruskan jenazah bayi berkenaan.
Selain bayi tersebut, ibunya tinggal menumpang di rumah itu bersama seorang lagi anak perempuan berusia dua tahun.
Menurut Laili kejadian disedari seorang sukarelawan Rumah Ngaji yang lalu di kawasan itu dan melihat ibu berkenaan menangis.
Apabila ditanya, ibu berkenaan memaklumkan bayinya sudah meninggal dan dia tidak mampu menguruskannya kerana tidak ada apa-apa.
Laili berkata, pihaknya bertindak segera menguruskan bayi berkenaan dan selamat dikebumikan jam 1.30 tengah hari semalam.
Katanya, ibu tersebut masih dalam keadaan trauma sedang dihimpit kesusahan selepas suaminya menjalani hukuman penjara selama setahun kerana masalah dadah.
"Justeru kita bantu keluarga ini dengan barangan asas untuk dua bulan dan bantuan lain yang bersesuaian," kata Laili.
Menurut Laili, Rumah Ngaji yang dikendalikannya banyak membantu masyarakat setempat khususnya mereka yang tiada identiti untuk belajar agama sejak beberapa tahun lalu.
Kata Laili pihaknya juga bekerjasama dengan beberapa NGO Semenanjung untuk kutipan dana bagi membantu golongan memerlukan.
Sumber: Laili Basir