TERHIMPIT sumber pendapatan apabila karier seni terjejas dek pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 (PKP3.0) telah mendorong pelawak, Amir Raja Lawak serius berniaga secara kecil-kecilan.
Meskipun hanya menjual minuman berasaskan jagung jenama, Air Jagung Amirreka di gerai tepi jalan, situasi tersebut nampaknya tidak mematahkan semangat selebriti berusia 32 tahun itu.
Mengapa? Tidakkah beliau berasa malu atau lelah berpanas dan hujan di bawah kanopi?
Jom ikuti kupasan lanjut sesi Live SinarPlus kendalian Addy Junaidi bersama pemilik nama sebenar Mohammad Amirullah Azmi baru-baru ini.
Bagaimana keadaan Amir ketika ini khususnya sepanjang tempoh pelaksanaan PKP3.0?
Alhamdullilah...semua okey! Saya berniaga manakala isteri (Nur Intan Syafinaz Shaari) pula bekerja.
Boleh kongsikan lebih lanjut mengenai jualan minuman Air Jagung Amirreka?
Sebelum ini saya terlibat dalam bisnes bundle, tetapi kini sudah empat tahun menjual air jagung.
Mengapa air berasaskan jagung menjadi pilihan berbanding bisnes lain?
Sebelum ini saya ada menjual roti bakar beserta inti dimasak sendiri. Seawal pagi saya bersama isteri saling membantu menyiapkan bahan-bahan sebelum keluar berniaga sekitar jam 3 petang hingga tengah malam.
Ironinya, bukan mudah untuk golongan artis yang terlibat dalam dunia glamor sanggup memacak gerai tepi jalan berniaga. Tapi, Amir pula sebaliknya...
Tidak dinafikan pada mulanya memang segan dan kekok, namun lama-kelamaan selepas berjumpa dengan ramai pelanggan saya sudah ada keyakinan diri untuk terus berniaga.
Bayangkan kerana terlalu pemalu apabila menjual di bazar Ramadan nak tarik perhatian pengunjung singgah ke gerai pun saya segan (ketawa).
[caption id="attachment_50738" width="480"] AMIR (duduk) bersama rakan selebriti kumpulan Senario ketika menjayakan rakaman program televisyen.[/caption]
Adakah Amir pernah disindir gara-gara berniaga air tepi jalan?
Setakat ini belum lagi kerana rata-rata pengunjung yang datang ke gerai memberikan respon positif membeli produk saya.
Namun begitu, terdapat segelintir individu memerli terutamanya meninggalkan komen kurang manis di blog-blog dan media sosial.
Jadi bagaimana Amir berdepan dengan perlian seumpama itu?
Saya okey kerana ramai tidak mengetahui bahawa penglibatan saya dalam bidang seni sebenarnya 'lahir' daripada kecaman.
Sejak menyertai Maharaja Lawak 3 pun sudah ramai yang mengutuk jadi saya telah lali dengan situasi ini.
Antara cabaran dialami sepanjang mengusahakan gerai minuman?
Cuaca hujan dan panas. Sebelum ini saya berniaga bertemankan meja sahaja tanpa payung. Jadi apabila hujan terus lari berteduh di dalam kereta. Bersyukur hari ini sudah mampu memasang kanopi di tapak jualan.
Bagaimana respon isteri dan keluarga apabila Amir mengambil keputusan untuk serius berniaga dalam tempoh PKP3.0?
Saya mendapat sokongan padu daripada mereka tambahan pula kami (keluarga) memang latar belakang berniaga.
Seronok berniaga walaupun kecil-kecilan yang mana sehari secara purata memperoleh hasil jualan sebanyak RM200. Dapatlah berkongsi rezeki bersama dua rakan yang turut membantu di tapak niaga.
Justeru, apakah harapan Amir terhadap bisnes dan karier seni?
Saya mendoakan agar perjalanan seni ini berterusan sehingga tua dan berharp selepas PKP saya berpeluang menggembangkan perniagaan air jagung.
Foto: Instagram @amirrajalawak