PANDEMIK wabak Covid-19 yang masih melanda negara memang memberi kesan mendalam dari segi fizikal dan fizikal masyarakat.
Ada yang dibuang kerja dan dicutikan tanpa gaji. Tidak kurang juga ada yang terpaksa menanggung keluarga dengan gaji dipotong hampir 50 peratus.
Bahkan, ramai dalam kalangan kita yang terjejas pendapatan lebih berbulan-bulan lamanya.
Apabila hal itu terjadi, sesiapapun akan runsing memikirkan kos sara hidup yang perlu ditanggung.
Lagi sedih mengenangkan anak yang merengek kelaparan dan tidak cukup makan.
Pun demikian, sejak kebelakangan ini, ramai individu, pertubuhan bukan kerajaan, syarikat korporat, ahli surau atau masjid, persatuan taman perumahan dan lain-lain telah muncul membantu mereka tanpa kira kaum sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.
Ada yang sudi memberikan sumbangan barangan keperluan dapur dan ada juga yang menaja makanan percuma bagi mengisi perut keluarga yang terputus bekalan.
Namun, daripada semua itu, SinarPlus tertarik dengan pendekatan yang dilakukan sepasang suami isteri yang sanggup menjual nasi bajet berharga RM2 untuk mereka yang memerlukan di Bandar Seri Permaisuri, Cheras.
Berkongsi kisah penuh inspirasi itu kepada penulis, Roziyah Mohamad, 52, berkata, mereka sebenarnya tidak menyangka jualan Nasi Bajet Pak Abu viral di media sosial.
"Idea ini sebenarnya dicetuskan pakcik saya, Abu Abdullah yang menetap di Melaka. Jiwanya cukup mulia dan suka bersedekah.
"Apabila hasratnya mahu menginfak makanan kepada orang ramai dan meminta saya memasaknya, memang tak fikir panjang, saya setuju kerana dapat selit pahala sekali," ceritanya ketika dihubungi baru-baru ini.
Mengambil nama Pak Abu sebagai pencetus idea jualan nasi bajet tersebut, wanita itu bersama suaminya, Fathee Abdullah, 52, memulakan jualan sejak Sabtu dan Ahad lalu.
[caption id="attachment_52255" width="1024"] PAK ABU (kanan) menjadi pencetus idea jualan Nasi Bajet Pak Abu yang diusahakan pasangan suami isteri di Bandar Sri Permaisuri, Cheras Selangor.[/caption]
Kata ibu kepada 12 anak itu, dirinya terkesan melihat ramai yang terjejas kerana wabak Covid-19 sehingga terputus makanan untuk anak dan isteri di rumah.
"Ada seorang ayah ini datang bersama anak kecilnya dengan menunggang motosikal. Bila ditanya, lima anaknya kelaparan disebabkan tiada duit nak beli makanan.
"Memang sedih bila dengar cerita mereka. Kalau kita rasa susah, sebenarnya ada yang lagi susah sampaikan tiada apa-apa untuk dimakan," katanya sayu.
Ujar Roziyah, hatinya sangat terharu apabila ada individu yang prihatin yang turut menyumbangkan sejumlah wang untuk beliau meneruskan usaha murni tersebut.
"Saya tak sangka sebenarnya, tidak kira Melayu atau India, mereka satu hati membantu menginfak makanan kepada orang susah.
"Justeru, set nasi ini diberikan percuma kepada mereka yang benar-benar susah dan penghantar makanan. Ada yang membeli, tetapi disedekahkan kepada orang," katanya.
Bercerita mengenai menu yang disajikan, tukang masak itu berkata, beliau akan mempelbagaikan lauk untuk orang ramai seperti nasi putih, ayam dan ikan goreng berempah, sayur campur serta kuah kari kentang.
"Ada masanya, saya akan masak lauk kurma atau menu berbeza setiap minggu. Dalam sehari, saya akan jual 100 pek saja, sambil dibantu lima anak yang turut teruja untuk menolong orang orang susah.
"Selagi ada kudrat, jualan nasi bajet ini akan diteruskan lagi. Terima kasih kepada yang bersedekah tidak kira kaum. Hanya ALLAH saja yang dapat membalasnya," ujarnya.
Kisah pasangan suami isteri itu turut tular di media sosial apabila ramai yang menyokong jualan tersebut.
Antaranya, perkongsian @rudyakhbar_ yang terharu dengan kesungguhan pasangan suami isteri tersebut menjual nasi bajet dan menerima lebih 17,000 retweet.
Dalam tweet yang dikongsikan di Twitter, @rudyakhbar_ turut menggalakkan orang ramai untuk menyokong jualan nasi bajet tersebut dan disedekahkan kepada orang memerlukan.
"Please support gais. Kalau kita mampu beli. Beliau mampu jugak sedekah jika berlebihan. Lokasi: Tasik Permaisuri."
Rata-rata pengguna Twitter yang mengikuti perkongsian tersebut memuji keluhuran hati penjual yang membantu orang memerlukan.
Tidak kurang juga yang percaya rezeki ALLAH.
Moga ALLAH lariskan jualan Nasi Bajet Pak Abu.
Bagi mereka yang ingin menyumbang, boleh infak makanan.
Sesungguhnya, usaha murni seperti ini mampu memberikan sinar kebahagiaan kepada mereka yang terputus makanan di rumah.
Kalau boleh, peka dengan jiran masing-masing dan bantulah semampu mungkin untuk meringankan beban yang ditanggung. #kitajagakita #kitalaluibersama #perkasakansuaraMalaysia