PENANGAN penularan Covid-19 yang semakin meruncing kini mendorong platform penstriman video dengan kandungan Islamik, Nurflix melancarkan inisiatif pembinaan rangkaian media Islamik antarabangsa.
Ketua Pegawai Eskekutifnya, Syah Mohamed berkata, pihaknya bakal menjalin kerjasama dengan syarikat penerbitan dan media Islamik dari luar negara.
"Kami mahu mencapai objektif dalam usaha memberi manfaat kepada penggiat seni dan komuniti.
"Nurflix bakal memiliki kandungan dan kolaboratif dengan (syarikat penerbitan luar negara) seperti dari United Kingdom, Mesir, Qatar, Turki dan Indonesia.
Bukan itu sahaja, Nurflix juga sedang dalam perbincangan dengan platform penstriman Islamik seluruh dunia bagi membina gabungan kerjasama penyebaran kandungan media yang sopan dan bermanfaat untuk generasi.
Syah menambah, kemasukan kandungan-kandungan luar ke dalam Nurlix juga akan memberi peluang pekerjaan post produksi, terjemahan kandungan dan alih bahasa.
Inisiatif tersebut juga dibuat agar khalayak akan dapat terus menikmati kandungan patuh syariah dari dalam dan luar negara yang disajikan kepada pengguna.
Sehubungan dengan pemerkasaan kerjasama dan pelebaran kandungan luar, produk milik Sutera Hijau Ventures Berhad akan melancarkan aplikasi natif ‘Nurflix Goldfish 2.0’ lengkap untuk pelbagai peranti iOS, Android dan Smart TV bagi menggantikan aplikasi hibrid sedia ada sejak pelancaran Nurflix Beta pada Oktober 2020.
"Naik taraf ini akan dilancarkan sempena 1 Muharram atau 10 Ogos 2021 dan akan memberi kelebihan kepada pengguna kerana ia akan lebih stabil dan pantas,” terang Syah mengenai pengukuhan aplikasi natif yang akan dilaksanakan kelak.
Aplikasi Nurflix boleh dicapai melalui laman web http://nurflix.tv, Apple Appstore & Google Playstore.